KANAK-KANAK perlu diberi pendedahan awal tentang pendidikan seksual.
Malah, segala persoalan mereka tentang alat kelamin perlulah dijawab dengan jujur oleh ibu bapa.
Jurulatih keibubapaan dan penceramah, Mohd Fhais Salim turut berkongsi mengenai topik itu menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut Mohd Fhais, adalah normal untuk kanak-kanak lelaki mengalami ereksi dan bermain dengan kemaluan mereka.
"Sebenarnya adalah normal untuk berlaku eraksi atau tegang pada zakar seawal usia bayi.
"Cuma masa baby mereka tak ambil port sangat. Tapi semakin usia meningkat, body awareness pun turut meningkat sama.
"Ada juga kanak-kanak lelaki yang suka sentuh, gosok dan bermain-main dengan zakar mereka. Ini kita panggil penis play. Ini pun normal sebenarnya, jangan pelik," kongsinya.
Bagaimanapun kata Mohd Fhais, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk menghentikan tabiat berkenaan dengan memberi penjelasan yang betul.
Sifat ingin tahu membuak-buak dalam kalangan kanak-kanak yang sedang membesar. -Gambar hiasan
"Selagi kanak-kanak tu belum baligh, bermain dengan zakar tidak berbahaya. Cuma tabiat ini tidaklah digalakkan.
"Sebab tu kena ajar betul-betul pada anak tentang ilmu seksualiti," ujar penulis buku itu lagi.
Tambah Mohd Fhais, situasi ini juga merupakan satu lumrah biasa dalam perkembangan seksual kanak-kanak.
"Apabila body awareness mereka meningkat, membuak-buak rasa nak explore dan belajar tentang tubuh badan sendiri... ia normal. Cuma jika tak dididik dengan betul, risau anak boleh keliru tentang kemaluan, seks dan sebagainya.
"Sebab tu tak boleh marah atau ugut apabila nampak anak bermain dengan kemaluan sendiri, salah tu. Nanti jika ada apa-apa isu berkaitan kemaluan atau seksualiti, dia jadi tak berani nak rujuk pada kita.
"Mak ayah kena ajar dan jadi tempat rujukan utama apabila melibatkan isu seksualiti ni," pesannya lagi.
Tambah Mohd Fhais, ibu bapa juga tidak boleh malu untuk mendidik anak-anak dalam soal sensitif ini.
"Sebagai mak ayah, jangan malu untuk explain dan cerita pada anak hal-hal sebegini. Anak-anak sangat perlukan ilmu sebegini ketika mereka sedang membesar, terutama yang dah usia tujuh tahun ke atas.
"Budak tujuh tahun sekarang lagi advance daripada kita 13 tahun dulu, serius," tulisnya.