SEORANG peniaga membuat pendedahan mengejutkan apabila dia memuat naik video memaparkan cacing-cacing dalam perut sotong.
Menurut peniaga itu, dia tahu tentang kewujudan haiwan parasit berkenaan kerana sering membersihkan sotong dalam kuantiti banyak.
"Saya siang sotong 40 kilogram (kg) sehari, semua ada cacing. Pastikan buang kelongsong cacing ini.
"99 peratus ada dalam sotong. Buang bersih-bersih ya," tulis peniaga Gerai Mee Kaki Udang LKNK itu di TikTok.
Dalam hantaran berasingan, dia turut berkongsi tutorial untuk membuang ribuan cacing yang berada dalam perut sotong.
"Ini cacing, duduk dalam sotong, tapi ia tak duduk di hujung-hujung bontot sotong. Ia duduk di tengah. Kalau masukkan jari pun takkan sampai.
"Tarik jarum (struktur keras dan lutsinar dalam sotong), baru keluar. Tapi kalau jarum tu kosong, maknanya (cacing) tertinggal di dalam. Sebab tu siang sotong kena bersih.
Peniaga itu turut berkongsi tutorial untuk membersihkan isi perut sotong.
"Banyak, beribu ekor (cacing). Tapi kalau sotong pendek, mungkin awak boleh cuci pakai jari," kata peniaga lelaki itu sambil menunjukkan cacing yang sedang bergerak diletakkan atas tapak tangannya.
Reaksi netizen
Video itu turut menerima pelbagai komen netizen yang rata-ratanya terkejut dengan pendedahan peniaga berkenaan.
"Sepanjang aku siang sotong, tak pernah jumpa cacing sotong.
"Gelinya. Dah separuh abad hidup baru tahu cacing sotong duduk di situ.
"Memang aku dah tak makan sotong lepas ni, kembang tekak," tulis netizen.
Apa itu Anisakis?
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, cacing yang ditemui dalam sotong biasanya dianggap sebagai parasit.
Contoh yang paling biasa ialah Anisakis, sejenis cacing gelang parasit (nematod) yang menjangkiti haiwan laut seperti sotong, ikan dan paus.
Manusia boleh tersalah makan larva ini apabila mengambil makanan laut yang mentah atau tidak dimasak sepenuhnya, seperti sushi atau sashimi.
Apabila masuk ke dalam badan manusia, larva ini boleh cuba menebuk dinding perut atau usus, lalu menyebabkan satu keadaan yang dikenali sebagai anisakiasis, yang boleh membawa kepada sakit perut, loya, muntah atau reaksi alahan.