SUATU masa lalu, individu yang rabun terpaksa berbelanja ratusan hingga ribuan ringgit untuk mendapatkan sepasang cermin mata.
Namun kini, terdapat banyak kedai optometri yang menawarkan cermin mata pada harga bawah RM100.
Lebih menarik, pakej harga itu sudah merangkumi kos bingkai cermin mata serta kanta yang siap dengan kuasa (power).
Di sebalik kemudahan itu, timbul kebimbangan tentang kualiti perkhidmatan yang ditawarkan di kedai-kedai berkenaan.
Sesetengah kedai dikhuatiri tidak mempunyai petugas bertauliah untuk melakukan ujian mata ke atas pelanggan.
Pelanggan terima padah
Di aplikasi TikTok, tular kisah seorang pelanggan yang menerima bacaan salah selepas dia melakukan ujian mata di sebuah kedai.
Kisah mengenai pelanggan itu dikongsi oleh sebuah kedai optometri lain selepas mangsa datang mengadu tentang masalahnya.
Pakej cermin mata bawah RM100 dianggap satu penjimatan luar biasa buat pelanggan. -Gambar hiasan
"Dark side kedai cermin mata tanpa optometris/optician. Pernah jumpa seorang adik ni. Datang kedai, mengadu tak boleh buka mata bila pakai spek.
"Bila pakai sakit kepala dan rasa nak muntah. Padahal baru saja buat (spek). Bila periksa, rupanya dia pakai power silau yang terlampau tinggi sampai -700.
"Padahal power sebenar -200 saja. Bila ditanya, rupanya adik ni check mata dekat tempat yang popular dengan jual spek mata murah dan tiada individu bertauliah untuk check mata," tulis pentadbir akaun TikTok kedai itu.
Di ruangan komen, beberapa individu turut berkongsi kisah mereka yang pernah berdepan masalah sama.
"Biasa buat spek harga RM500. Satu hari terpengaruh promosi RM50 kanta dan bingkai. Dah siap, tak boleh pakai sebab pening, sakit kepala, mata berdenyut.
"Jangan pernah percaya kedai yang tawarkan harga spek murah," tulis beberapa netizen.