SESIAPA sahaja yang pernah mengamalkan diet pasti tahu ia bukanlah satu proses atau perjalanan yang menggembirakan.
Malah, kajian sains turut menyatakan bahawa kemurungan yang sering mengiringi usaha diet mungkin bukan sekadar emosi sementara.
Satu kajian baru yang diterbitkan dalam jurnal BMJ Nutrition, Prevention & Health mendapati pengurangan kalori dalam diet sebenarnya boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental.
Malah, ia dikaitkan dengan risiko kemurungan yang lebih tinggi, terutamanya dalam kalangan lelaki dan individu yang mengalami berat badan berlebihan.
Makan sikit, otak merana?
Kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari University of Toronto menganalisis data kesihatan daripada 28,528 orang dewasa di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 10 tahun.
Para peserta berkongsi maklumat corak pemakanan mereka, sama ada sedang berdiet, dan menjalani penilaian klinikal bagi simptom kemurungan.
Hasilnya mendapati mereka yang mengamalkan diet rendah kalori mencatatkan skor lebih tinggi bagi simptom kemurungan termasuk keletihan, sukar memberi tumpuan dan hilang minat atau keseronokan dalam melakukan sesuatu.
Menurut penyelidik, ini berkemungkinan kerana pengurangan kalori menyebabkan kekurangan nutrisi, terutama protein dan vitamin penting yang memainkan peranan besar dalam fungsi otak dan pengawalan emosi.
Diet ekstrem boleh menyebabkan seseorang tertekan untuk mencapai berat badan sasaran. -Gambar hiasan
“Mereka yang berdiet tetapi tidak mengalami penurunan berat badan atau mengalami kitaran naik-turun berat dalam kehidupan sebenar mungkin mengalami kemerosotan simptom kemurungan,” jelas para penyelidik.
Mereka turut menambah otak memerlukan bekalan glukosa yang stabil sebagai sumber tenaga, serta asid lemak omega-3 untuk menyokong fungsinya.
Kekurangan nutrien ini boleh menjejaskan prestasi otak, termasuk kestabilan emosi.
Lelaki dan individu obes lebih terkesan
Kajian ini turut mendedahkan sesuatu yang mengejutkan iaitu lelaki dilaporkan lebih terkesan secara psikologi apabila melakukan diet berbanding wanita.
Walaupun kedua-dua jantina menunjukkan perubahan emosi, lelaki yang mengamalkan sebarang bentuk diet dilaporkan mengalami kesihatan mental yang lebih buruk berbanding wanita.
Daripada jumlah peserta kajian, 14,329 adalah wanita dan 14,196 adalah lelaki.
Salah satu kemungkinan ialah lelaki mempunyai keperluan nutrisi yang lebih tinggi, jadi pengurangan makanan memberi kesan yang lebih besar.
Selain itu, ada juga yang berpendapat lelaki mungkin lebih sukar menyesuaikan diri dengan rutin diet.
Kajian ini turut mendapati diet rendah kalori lebih kerap diamalkan oleh individu yang berlebihan berat badan atau obes, dan kumpulan ini turut menunjukkan lebih banyak tanda kemurungan berbanding mereka yang langsung tidak melakukan diet.