TERDAPAT banyak cara yang boleh dilakukan oleh pasangan suami isteri untuk mengekalkan kebahagiaan rumah tangga.
Menurut doktor dan pempengaruh media sosial, Dr Ahmad Samhan Awang, salah satu caranya adalah dengan bercakap di dalam gelap.
"Mungkin ramai yang tak pernah fikir kenapa suami isteri perlu berbual dalam gelap?
"Tapi sebenarnya, ada beberapa sebab penting kenapa ia boleh menjadi momen yang sangat berharga dalam hubungan kita," ciapnya di laman X.
1. Menghilangkan gangguan
Dalam kehidupan yang penuh dengan tekanan, gelap memberi ketenangan yang kita perlukan. Tiada gangguan daripada telefon atau televisyen.
Hanya pasangan yang dapat memberi fokus penuh kepada satu sama lain, berbicara dengan lebih terbuka dan jujur.
Bercakap dalam gelap baik untuk hubungan suami isteri, kata Dr Samhan.
2. Keintiman tanpa penampilan
Kadang-kadang kita terlalu fokus pada penampilan luar. Tapi dalam gelap, kita tidak melihat wajah atau ekspresi.
Kita hanya mendengar dan merasakan. Ini memberikan peluang untuk berbicara lebih ikhlas tentang perasaan dan tanpa rasa malu.
3. Cipta suasana menenangkan
Keadaan gelap atau kurang cahaya boleh memberikan rasa tenang. Ia membantu kita untuk lebih relaks dan lebih mudah berbicara tentang perkara yang mungkin sukar diungkapkan dalam keadaan terang.
Ini juga mengurangkan kecanggungan.
4. Mendekatkan hati sebelum tidur
Keintiman bukan hanya sekadar hubungan fizikal, tetapi emosi yang kita kongsi.
Bercakap dalam gelap sebelum tidur memberi peluang untuk kita membuka hati, saling memahami lebih dalam dan tidur dengan perasaan yang lebih tenang.
Dalam hantaran sama, Dr Samhan berpesan agar pasangan suami isteri tidak menunggu untuk mendapatkan mood terbaik sebelum berbicara.
"Kadang kala, kita menunggu 'mood yang baik' sebelum berbicara. Namun, realitinya, berbicara itu sendiri boleh mencipta mood baik," ujarnya.
Dr Samhan turut berpesan agar aktiviti itu dijadikan sebagai rutin setiap malam untuk suami isteri.