SETIAP kali berkunjung ke kawasan air terjun, kita pasti tidak akan melepaskan peluang untuk berendam di dalamnya.
Selain menikmati panorama alam semulajadi, berendam dalam air terjun yang sejuk juga boleh menenangkan minda.
Menurut laman sesawang Olympian Water Testing, air terjun sebenarnya mengandungi mineral seperti magnesium dan kalsium yang penting untuk kesihatan.
Mineral-mineral ini boleh membantu merehatkan otot, menjaga kesihatan tulang dan mengurangkan keradangan.
Selain itu, air terjun turut kaya dengan ion negatif yang boleh meningkatkan mood dan mengurangkan tekanan.
Antara lain, magnesium yang sangat penting untuk kesihatan jantung dan kekuatan tulang juga sering ditemui dalam jumlah tinggi di air terjun semulajadi.
Pengunjung perlu peka dengan keadaan cuaca ketika mandi di air terjun. -Gambar hiasan
Berenang, sama ada di dalam kolam atau air terjun juga merupakan satu bentuk senaman kardiovaskular yang sangat baik.
Namun, rintangan daripada pergerakan arus serta suhu sejuk air terjun boleh membantu meningkatkan kadar denyutan jantung dan melancarkan peredaran darah, sekali gus menyokong kesihatan jantung yang lebih baik.
Pergerakan berterusan ketika berenang, digabungkan dengan kesan hidroterapi semulajadi dari air terjun, membantu menguatkan jantung dan memperbaiki fungsi kardiovaskular secara keseluruhan.
Di sebalik manfaat-manfaat ini, janganlah kita leka sehingga mengabaikan aspek keselamatan ketika mandi-manda di air terjun.
Tip keselamatan
1. Lihat kekuatan arus sebelum mandi air terjun dan elak bermain di kawasan dalam jika anda tidak tahu berenang.
2. Sambil berendam di air terjun, periksa juga bahaya tersembunyi seperti batu tajam atau kehadiran haiwan berbisa.
3. Kita juga digalakkan memakai kasut khas untuk aktiviti air untuk mengelakkan kecederaan.
4. Sebaiknya jangan berenang bersendirian, pastikan anda ditemani seseorang ketika melakukan aktiviti di air terjun.
5. Paling penting kita juga perlu peka dengan keadaan cuaca untuk mengelakkan risiko kepala air dan sebagainya.