suria

Tuala mandi makin tak serap air lepas berkali-kali dibasuh, anda mungkin silap guna pencuci

Cecair pelembut fabrik dikatakan tidak sesuai digunakan untuk tuala. -Gambar hiasan AI

RAMAI antara kita menganggap penggunaan cecair pelembut fabrik semasa mencuci pakaian sebagai langkah wajib, lebih-lebih lagi untuk mendapatkan bau wangi dan menjadikan kain lembut.

Namun, tahukah anda penggunaan cecair pelembut fabrik ini sebenarnya tidak sesuai untuk tuala?

Pakar cucian dan pengguna berpengalaman mendakwa pelembut fabrik boleh merosakkan keupayaan tuala untuk menyerap air. 

Ini kerana kandungan bahan kimia di dalam pelembut tersebut membentuk satu lapisan 'lilin' halus pada fabrik, sekali gus mengurangkan fungsi penyerapannya.

Tuala yang bagus memiliki daya serapan air yang tinggi. -Gambar hiasan AI

Hasilnya, tuala bukan sahaja menjadi kurang berkesan untuk mengeringkan badan, malah lebih lambat kering dan boleh menyebabkan bau hapak jika tidak disidai dengan betul.

Sebelum ini, laman 'Consumer Reports' turut menyatakan cecair pelembut fabrik boleh meninggalkan sisa pada kain dan mengurangkan daya serap tuala.

Cuka sebagai alternatif

Sebagai alternatif yang lebih mesra poket dan semula jadi, anda disarankan menggunakan cuka putih semasa bilasan terakhir. 

Cuka bertindak sebagai agen pelembut semula jadi, membantu menanggalkan sisa detergen, mengekalkan kelembutan kain, dan paling penting, tidak mengganggu daya serapan tuala.

Jadi, selepas ini, jika anda rasa tuala di rumah semakin ‘keras’ dan tidak menyerap air seperti dulu, cuba semak semula tabiat cucian anda. 

Mungkin sudah tiba masa untuk ‘pencenkan’ pelembut fabrik dan beralih kepada cuka putih.

Artikel Lain