BAU yang tidak menyenangkan dalam rumah boleh mengganggu 'mood' dan memberi kesan kepada keselesaan penghuni.
Puncanya mungkin datang dari dapur, ruang tamu atau ruang makan dan jika dibiarkan mungkin bertambah teruk jadinya.
Salah satu bau yang sering menjadi masalah ialah dari peti sejuk.
Sisa makanan, bahan mentah yang sudah rosak atau tumpahan cecair boleh menyebabkan bau hapak yang kuat dan sukar dihilangkan jika tidak ditangani segera.
Satu tip mudah untuk mengatasi masalah ini ialah dengan menggunakan arang.
Ramai tak tahu, arang sebenarnya bukan sekadar bahan untuk membakar sate atau BBQ sahaja.
Arang merupakan penyerap bau semula jadi yang sangat efektif.
Sisa makanan dalam tong sampah boleh menghasilkan bau busuk sehingga mengganggu penghuni. -Gambar hiasan AI
Ia mampu menyerap kelembapan dan molekul bau busuk yang terperangkap di dalam ruang tertutup seperti peti sejuk.
Caranya juga mudah iaitu dengan mengambil seketul arang, letakkan dalam mangkuk kecil dan simpan di sudut dalam peti sejuk.
Arang ini akan ‘menarik’ bau-bau tidak menyenangkan seperti bau makanan basi, ikan atau sayur yang sudah layu.
Bahaya atau tidak?
Meletakkan arang dalam peti sejuk sebenarnya tidak berbahaya jika dilakukan dengan cara yang betul.
Arang, terutamanya jenis arang aktif atau arang kayu biasa, bersifat tidak toksik dan tidak berbau.
Ia mampu menyerap bakteria, kelembapan dan bau kurang menyenangkan di dalam udara secara semula jadi.
Jangan risau, ia tidak akan menyebabkan kebakaran kerana suhu dalam peti sejuk sangat rendah.
Untuk gunakannya dengan selamat, pastikan anda memilih arang yang bersih dan kering.
Elakkan arang yang mengandungi bahan kimia seperti pencetus api (lighter fluid).
Letakkan arang tersebut dalam bekas terbuka atau uncang kain, dan jauhkan daripada bersentuh secara langsung dengan makanan.
Ringkasnya, penggunaan arang dalam peti sejuk adalah selamat dan berkesan, asalkan anda memilih jenis yang sesuai dan tahu cara menggunakannya dengan betul.