suria

Rupanya bahaya guna plastik pasar simpan ayam dan ikan dalam peti sejuk… Tolong jangan buat lagi!

Ayam dan ikan tidak sepatutnya disimpan dengan plastik di dalam peti sejuk. -Gambar hiasan AI

BAGI mereka yang gemar memasak dan makan di rumah, stok ayam dan ikan biasanya sentiasa ada di dalam peti sejuk.

Namun, masih ramai yang terus membekukan ayam atau ikan menggunakan plastik dari pasar. 

Ia mungkin nampak praktikal dan menjimatkan masa, namun hakikatnya tabiat ini boleh mendatangkan risiko terhadap kesihatan serta kualiti makanan.

Plastik yang digunakan di pasar biasanya nipis dan tidak sesuai untuk penyimpanan jangka panjang dalam suhu sejuk beku.

Tanpa disedari, perbuatan ini boleh mengundang pelbagai masalah seperti daripada pencemaran makanan, pembentukan ais berlebihan (freezer burn), dan risiko kesihatan yang lebih serius.

1. Risiko pencemaran kimia

Plastik pasar biasanya tidak diperbuat daripada bahan gred makanan. Apabila ia terdedah kepada suhu beku yang sangat rendah, bahan kimia daripada plastik tersebut berisiko meresap ke dalam ayam atau ikan.

Ini secara tidak langsung boleh menjejaskan kesihatan pengguna, terutamanya jika dilakukan secara berulang dan dalam jangka masa panjang.

Setiap makanan mempunyai cara penyimpanannya yang tersendiri. -Gambar hiasan AI

2. Mudah bocor dan tidak kedap udara

Plastik pasar sangat nipis dan tidak direka untuk menahan tekanan atau suhu beku. Ia mudah bocor atau terkoyak, menyebabkan air daripada ayam mengalir keluar atau udara masuk ke dalam, sekali gus menggalakkan pembentukan kristal ais di permukaan ayam. 

Ini akan menyebabkan tekstur ayam menjadi kering, keras dan tidak segar selepas dinyahbeku.

3. Menyumbang kepada pembentukan freezer burn

Freezer burn berlaku apabila makanan terdedah terlalu lama kepada udara dalam peti sejuk beku. Tanda-tandanya termasuk permukaan ayam yang kelihatan keputihan atau kelabu serta rasa yang hambar selepas dimasak.

Plastik pasar yang tidak kedap udara mempercepatkan proses ini dan menjejaskan kualiti makanan.

4. Bau kurang menyenangkan dalam peti

Plastik pasar juga tidak direka untuk menyekat bau. Jika ayam yang disimpan tidak dibungkus dengan kemas atau bocor, ia boleh menyebabkan peti sejuk berbau hanyir. 

Bau ini bukan sahaja mengganggu, malah boleh mencemari makanan lain yang disimpan berdekatan.

Artikel Lain