WARNA pinggan yang digunakan ketika makan mungkin kelihatan seperti satu perkara kecil yang tidak signifikan.
Namun, kajian psikologi mendapati pinggan berwarna biru berpotensi mengurangkan selera makan seseorang, sekali gus menjadi trik menarik untuk mereka yang ingin mengawal pemakanan.
Menurut pakar psikologi warna, biru jarang dikaitkan secara semula jadi dengan makanan.
Tidak seperti warna merah, oren atau kuning yang sering merangsang selera, warna biru sebaliknya memberikan kesan sejuk dan kurang menggiurkan secara visual.
“Apabila makanan dihidangkan dalam pinggan biru, otak manusia tidak memberi rangsangan visual yang kuat terhadap rasa lapar,” demikian menurut satu kajian yang dijalankan oleh University of Oxford berkaitan persepsi visual dan selera makan.
Biru dianggap sebagai warna asing yang jarang dilihat pada makanan seperti buah-buahan. -Gambar hiasan AI
Antara sebab utama ialah kekurangan makanan semula jadi yang berwarna biru, menjadikan warna tersebut agak asing dalam konteks makanan.
Ini menyebabkan otak secara bawah sedar ‘mengurangkan keinginan’ untuk makan apabila melihat makanan di atas pinggan biru.
Warna mempengaruhi kuantiti makan
Kajian lain turut menunjukkan individu cenderung untuk mengambil hidangan dalam kuantiti lebih kecil apabila makanan dihidangkan dalam pinggan biru, berbanding warna lain.
Ini kerana kontras antara warna makanan dan pinggan memainkan peranan dalam menentukan berapa banyak makanan yang ingin diambil.
Contohnya, jika anda menghidangkan makanan berwarna cerah seperti pasta di atas pinggan biru gelap, ia akan menghasilkan kontras visual yang kuat, sekali gus boleh menyebabkan makanan kelihatan kurang menyelerakan dan secara tidak langsung mengurangkan selera makan.
Disebabkan itu juga, restoran atau hotel jarang sekali menggunakan pinggan biru gelap untuk hidangan utama kerana ia berpotensi menjejaskan pengalaman makan pelanggan.
Kaedah kreatif untuk diet
Bagi individu yang sedang menjalani diet atau ingin mengawal tabiat makan, penggunaan pinggan biru mungkin boleh dijadikan satu strategi psikologi yang mudah.
Walaupun ia bukanlah penyelesaian utama untuk menurunkan berat badan, pemilihan warna pinggan boleh dijadikan sebagai alat sokongan untuk membentuk tabiat makan yang lebih sihat.