MUSIM durian sememangnya dinanti-nantikan ramai rakyat Malaysia yang mahu menikmati keenakan raja buah ini.
Namun di sebalik keenakannya tersembunyi risiko kesihatan yang tidak boleh dipandang ringan, khususnya bagi mereka yang mempunyai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi.
Perkara itu dikongsikan oleh Dr Omar Yunos, seorang doktor perubatan yang turut memiliki Persijilan Nutrisi Aras 1 daripada Precision Nutrition.
Dr Omar mendedahkan beberapa kes yang pernah dihadapinya melibatkan pesakit yang mengalami komplikasi serius selepas mengambil durian dalam kuantiti berlebihan.
"Dalam pengalaman saya sendiri, seorang makcik pernah dimasukkan ke wad jantung akibat serangan jantung penuh selepas makan durian terlalu banyak.
"Sudah tentu, dia memang ada diabetes, hipertensi dan dislipidemia," katanya.
Menurut Dr Omar, durian mengandungi beberapa komponen yang boleh memberi kesan langsung kepada fungsi tubuh, terutama jika diambil secara berlebihan atau oleh individu berisiko kerana faktor:
1. Kandungan gula tinggi
2. Kesan termik tinggi
3. Kandungan potasium (kalium) tinggi
Individu yang mempunyai masalah seperti diabetes, hipertensi (tekanan darah tinggi), dan dislipidemia (masalah kolesterol) sudah pun mempunyai saluran darah yang sempit dan sistem metabolik yang lemah.
Gabungan kesan gula, suhu badan meningkat dan kalium tinggi daripada durian boleh mencetuskan sindrom metabolik (metabolic syndrome) yang merupakan satu kombinasi gangguan yang boleh membawa kepada serangan jantung atau strok.