suria

Buah pinggang wanita gagal sepenuhnya, kena dialisis seumur hidup... Segera jumpa doktor jika ada simptom-simptom ini

Min berkongsi kisah mengenai kegagalan kedua-dua buah pinggangnya di TikTok.

SEORANG wanita dikenali sebagai Min berkongsi kisah hidupnya yang menyentuh hati di TikTok apabila disahkan mengalami kegagalan kedua-dua buah pinggang.

Menurut gadis yang melanjutkan pengajian di Sydney, Australia itu, penyakit kronik yang dihadapi itu dikenali sebagai IgA Nephropathy.

Bercerita lanjut, ia berlaku apabila sistem imun badan menyerang buah pinggang sehingga organ penting itu hilang fungsi sepenuhnya.

"Doktor beritahu... saya cuma tak bernasib baik. Tak ada sebab yang jelas kenapa saya boleh kena penyakit ni. Ia berlaku tanpa amaran dan tak boleh dicegah," katanya.

Min terpaksa melakukan dialisis beberapa kali seminggu seumur hidup.

Apa yang lebih membimbangkan, ramai pesakit seperti Min langsung tidak menyedari mereka mempunyai masalah buah pinggang sehinggalah ia sampai ke fasa kritikal.

Kini, Min perlu menjalani rawatan dialisis beberapa kali seminggu untuk teruskan hidup kerana penyakitnya ini tidak boleh dirawat.

Min berharap agar individu yang mengalami situasi sama tidak berasa kesunyian walaupun kisahnya ini dianggap terlalu peribadi untuk dikongsikan.

"Saya tahu saya dikelilingi keluarga dan kawan yang baik, tapi rasa sunyi tu tetap ada. Sebab saya tak kenal sesiapa yang melalui benda yang sama.

"Kalau awak salah seorang pesakit IgA atau masalah buah pinggang... saya nak awak tahu, awak tak keseorangan. Saya nak jadi kawan awak,” luahnya ikhlas.

Menurut portal Mayo Clinic, IgA nephropathy (juga dikenali sebagai penyakit Berger) ialah sejenis penyakit buah pinggang.

Ia boleh berlaku apabila protein anti bodi semula jadi badan (IgA) berkumpul dalam buah pinggang. 

Pengumpulan ini menyebabkan keradangan yang lama-kelamaan merosakkan fungsi penapisan buah pinggang.

Antara simptomnya termasuk:

1. Warna air kencing seperti teh (disebabkan oleh darah)

2. Air kencing berbuih (tanda kebocoran protein)

3. Sakit di bahagian belakang bawah rusuk

4. Bengkak pada tangan dan kaki (edema)

5. Tekanan darah tinggi

6. Badan mudah letih dan lemah

Min bersyukur dikelilingi kawan baik yang sentiasa berada di sisi.

Lebih membimbangkan, penyakit ini selalunya tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal. 

Ia hanya dapat dikesan melalui ujian air kencing secara rutin yang menunjukkan kehadiran darah atau protein.

Sekiranya tidak dirawat, ia boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang yang boleh menyebabkan simptom serius seperti:

1. Gatal-gatal kulit

2. Kekejangan otot

3. Mual dan muntah

4. Hilang selera makan

5. Rasa logam dalam mulut

6. Keliru atau pelupa

Penyakit ini tidak boleh sembuh, namun rawatan seperti dialisis atau pemindahan buah pinggang boleh memanjangkan hayat pesakit.

Artikel Lain