suria

Selamat ke guna teknik ‘mouth taping’ elak dengkuran waktu tidur? Pakar tak yakin, bimbang undang bahaya

Penggunaan pita pelekat pada mulut ketika tidur semakin menjadi ikutan ramai. -Gambar hiasan AI

TREND menutup mulut dengan pita pelekat atau mouth taping ketika tidur kini semakin popular di TikTok selepas dipopularkan oleh selebriti dan golongan pempengaruh media sosial.

Dakwa mereka, teknik ini bukan saja membantu tidur lebih lena, malah boleh 'membentuk' wajah, mengurangkan dengkuran dan membantu atasi keresahan.

Namun, mengikut portal CNN, pakar kesihatan memberi amaran agar orang ramai tidak sewenang-wenangnya mencuba trend ini tanpa rujukan perubatan.

Menurut pakar bedah kepala dan leher dari Kanada, Dr Brian Rotenberg, tiada bukti kukuh menunjukkan kaedah ini benar-benar berkesan.

"Ia boleh membahayakan, terutama bagi mereka yang menghidap sleep apnea, iaitu gangguan tidur serius yang menyebabkan seseorang berhenti bernafas berulang kali ketika tidur," katanya.

Di Amerika Syarikat sahaja, lebih 23 juta penghidap sleep apnea masih belum didiagnosis, menjadikan sebarang amalan yang mengganggu pernafasan sebagai sesuatu yang berisiko tinggi.

Dr Raj Dasgupta dari California pula menjelaskan, bernafas melalui hidung memang memberi banyak manfaat termasuk menapis habuk, melembapkan udara dan membantu mengawal tekanan darah.

Namun menurut pakar terapi pertuturan dari Universiti Standforf, Ann Kearne, amalan mouth taping sahaja tidak mencukupi sekiranya lidah tidak berada pada posisi yang betul.

"Kalau lidah tak berada di lelangit mulut dan condong ke depan, saluran pernafasan boleh tersumbat dan menyebabkan kesukaran bernafas," jelasnya.

Jika masih mahu mencuba, pakar menyarankan hanya menggunakan pita perubatan khas yang nipis dan bukan pita pelekat biasa atau duct tape yang boleh membahayakan.

Malah yang paling penting adalah dapatkan pemeriksaan doktor terlebih dahulu, terutama jika anda ada masalah pernafasan atau tidur.

Ini kerana tidak semua tip di media sosial sesuai untuk semua dan elakkan daripada terikut-ikut trend tanpa ilmu dan nasihat pakar.

Artikel Lain