suria

Dengar suara Siti Nurhaliza terus bangkit daripada koma... Rupanya ini yang berlaku kepada pesakit koma

Aimi terlantar hingga koma selepas terkena serangan jantung.

KISAH seorang lelaki yang menunjukkan tindak balas selepas mendengar pesanan suara (voice note) daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza semasa koma di Australia dianggap luar biasa.

Aimi Nasruddin yang koma selama lima hari di Hospital St Vincent, Sydney selepas diserang sakit jantung, menunjukkan pergerakan tangan kanan sebaik mendengar voice note daripada penyanyi kesayangannya itu.

Daripada sudut kesihatan, kajian saintifik membuktikan bahawa rangsangan auditori terutamanya suara individu yang dikenali dan disayangi membantu pesakit koma memberi tindak balas serta mempercepatkan proses pemulihan.

Kajian yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik antarabangsa menunjukkan bahawa suara ahli keluarga atau suara yang mempunyai nilai emosi tinggi mampu merangsang aktiviti otak walaupun pesakit dalam keadaan tidak sedar sepenuhnya. 

Dalam kajian oleh Hoseinzadeh et al. (2013), pesakit koma yang menerima rangsangan suara tersusun  menunjukkan peningkatan skor kesedaran yang ketara berbanding pesakit yang tidak diberi rangsangan.

Menurut kajian itu lagi, walaupun pesakit dalam koma tidak boleh membuka mata, bercakap atau bergerak secara sedar, otak mereka masih berfungsi secara terhad, terutama di bahagian korteks auditori (yang memproses bunyi).

ARTIKEL BERKAITAN: Lima hari koma di Australia, lelaki ini beri respons lepas dengar ‘voicenote’ kiriman Siti Nurhaliza

Apabila pesakit mendengar suara yang dikenali itu, otak akan mengaktifkan sambungan saraf  tertentu yang menyimpan memori suara atau perasaan berkaitan suara tersebut.

Ini menyebabkan tindak balas kecil yang boleh dilihat melalui pergerakan fizikal atau peningkatan skor dalam ujian kesedaran seperti Glasgow Coma Scale (GCS).

Sebelum ini, pada 9 Julai lalu, Aimi rebah dan tudak sedarkan diri ketika berkunjung ke Bondi Beach, Sydney.

Dia koma selama lima hari sebelum menunjukkan tindak balas selepas mendengar kiriman voice note daripada penyanyi tersohor negara itu.

"Aimi selawat banyak-banyak, istighfar sebab itu boleh kurangkan sakit. Zikir jangan berhenti. Kuat semangat. Aimi jangan putus asa. Terima kasih selama ini sokong Kak Siti. Insya-Allah, Aimi boleh harungi semua ini," kata Siti Nurhaliza.

Sebaik mendengar pesanan suara itu, tangan kanan Aimi mula menunjukkan pergerakan kecil dengan doktor menyifatkan itu sebagai tindak balas positif.

Artikel Lain