SEORANG wanita berkongsi pengalaman hidup sebagai pesakit mental selepas menjadi mangsa gangguan seksual.
Pada tahun 2021, dia disahkan menghidap Major Depressive Disorder (MDD) dan selepas satu tahun kemudian, dia turut disahkan mengalami Borderline Personality Disorder (BPD).
Sejak itu, dia mengambil dua jenis ubat iaitu Escitalopram dan Quetiapine Fumarate, yang masih diteruskan sehingga kini.
Wanita ini menjalani rawatan di hospital kerajaan yang merangkumi beberapa sesi terapi, antaranya kaunseling (lapan sesi), terapi psikologi (10 sesi) dan terapi cara kerja (empat sesi).
Menurutnya, sesi terapi bersama seorang ahli psikologi yang merupakan antara bantuan paling besar dalam proses pemulihan.
Pesakit mental perlu mengetahui punca dan dapatkan rawatan selanjutnya. -Gambar hiasan AI
Dalam masa sama, dia turut menghadiri janji temu setiap empat bulan dan banyak membaca berkaitan kesihatan mental untuk lebih memahami keadaannya.
Sebagai individual yang sedang berjuang melawan penyakit, individual berkenaan berkongsi lima nasihat penting yang boleh dijadikan panduan:
1. Jangan takut mendapatkan rawatan.
2. Abaikan jika ada petugas kesihatan yang mempersenda, terutama mereka yang bukan dalam bidang psikiatri.
3. Bersabar dengan masa menunggu di hospital kerana pesakit ramai, manakala doktor pakar pula terhad.
4. Galakkan ahli keluarga yang menunjukkan tanda-tanda masalah mental untuk mendapatkan rawatan awal.
5. Jika tidak pasti keadaan diri, catat tanda-tanda yang dialami dan bawa ke klinik kesihatan untuk penilaian doktor.
Tambah individual itu, masalah kesihatan mental boleh berpunca daripada pelbagai faktor seperti trauma, buli, tekanan kewangan, isu keluarga, gangguan seksual dan penderaan.
Namun, faktor utama biasanya melibatkan ketidakseimbangan hormon dalam otak.
Rawatan awal mampu mengelakkan komplikasi lebih serius, termasuk kecenderungan mencederakan diri atau orang lain.
Dalam sesetengah kes pesakit mungkin mengalami halusinasi, justeru rawatan seharusnya dimulakan sebelum keadaan menjadi lebih teruk.
Wanita ini turut menekankan bahawa peranan doktor psikiatri adalah memberi rawatan dan nasihat, namun proses penyembuhan tetap bergantung kepada usaha pesakit itu sendiri.
Pesakit perlu konsisten mengambil ubat, hadir sesi terapi dan berada dalam persekitaran yang positif untuk pulih sepenuhnya.