suria

Wanita segera ke klinik, mengadu jantung kerap rasa berdebar... Beritahu doktor ambil suplemen magnesium untuk bantu tidur

Masalah kesihatan boleh berlaku akibat suplemen berlebihan. -Gambar hiasan AI

PERKONGSIAN tentang kisah seorang wanita muda yang hadir ke klinik dan mengadu jantungnya kerap berdebar menarik perhatian ramai.

Menurut hantaran Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, pemeriksaan awal mendapati wanita itu tidak mempunyai sebarang penyakit kronik.

Tekanan darahnya normal dan bacaan elektrokardiogram (ECG) juga tidak menunjukkan sebarang kelainan atau masalah kesihatan lain.

Namun selepas diteliti, wanita berkenaan rupa-rupanya baru mula mengambil suplemen magnesium yang dibeli secara dalam talian. 

Produk itu diambil bagi tujuan mendapatkan tidur yang lebih lena dan mengurangkan stres.

Bagaimanapun selepas menghentikan pengambilan suplemen tersebut, gejala jantung berdebar yang dialaminya hilang sepenuhnya.

Harus diingat, magnesium sememangnya penting untuk fungsi tubuh. 

Bagaimanapun jika diambil secara berlebihan (terutamanya daripada suplemen) ia boleh mengundang kesan sampingan seperti:

1. Cirit-birit

2. Tekanan darah terlalu rendah

3. Mual dan muntah

4. Degupan jantung tidak sekata

5. Lemah otot

6. Gangguan fungsi buah pinggang (dalam kes tertentu)

PHM turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan magnesium daripada sumber semula jadi yang lebih lebih selamat.

Antara sumber semula jadi yang mudah diserap tubuh adalah seperti sayur berdaun hijau, kekacang, bijirin penuh, pisang, ikan dan yogurt.

Artikel Lain