SATU perkembangan baharu dalam dunia perancangan keluarga apabila pil perancang khas untuk lelaki berjaya melepasi ujian keselamatan pertama ke atas manusia.
Menurut New York Post, pengambilan pil perancang ini tidak menjejaskan hormon atau tahap testosteron lelaki.
Pil tersebut dikenali sebagai YCT-529, dibangunkan oleh syarikat YourChoice Therapeutics dan kini sedang menjalani ujian klinikal berskala lebih besar.
Ia dijangka boleh dipasarkan seawal hujung dekad, 2030 akan datang.
Tidak seperti kaedah perancang tradisional yang melibatkan hormon, YCT-529 bertindak menghalang fungsi protein dikenali sebagai retinoic acid receptor alpha (proses penghasilan sperma).
Bagaimanapun kesannya bersifat sementara dan boleh dipulihkan.
Dalam ujian ke atas tikus jantan, pil ini menurunkan penghasilan sperma dalam tempoh empat minggu dan terbukti 99 peratus berkesan mencegah kehamilan.
Namun, sperma kembali normal selepas enam minggu pengambilan pil dihentikan.
Pasangan dapat menguruskan sumber kewangan keluarga dengan lebih baik melalui perancangan keluarga. -Gambar hiasan AI
Kesan sama turut dilihat pada primat jantan, dengan pemulihan sepenuhnya dalam 10 hingga 15 minggu tanpa sebarang kesan sampingan.
Ujian pertama terhadap manusia melibatkan 16 lelaki sihat berumur antara 32 hingga 59 tahun yang pernah menjalani vasektomi.
Ia bertujuan mengurangkan sebarang risiko terhadap kesuburan, memandangkan ini adalah kali pertama ubat bukan hormon diuji pada manusia.
Menurut pengasas bersama dan Ketua Pegawai Sains YourChoice, Nadja Mannowetz, kajian ini hanya menilai tahap keselamatan serta bagaimana ubat diserap dalam badan dan bukan lagi ke tahap keberkesanan mencegah kehamilan.
Hasilnya, tiada kesan terhadap kadar jantung, hormon, fungsi seksual, emosi atau tahap keradangan.
Pil perancang lelaki dilihat sebagai alternatif penting kerana selama ini pilihan bukan kekal hanya tertumpu pada kondom yang menurut kajian semakin jarang digunakan.
YCT-529 kini melalui fasa ujian seterusnya melibatkan lebih 50 lelaki yang akan mengambil pil ini selama 28 hingga 90 hari pada dos berbeza.
Jika berjaya, dunia mungkin menyaksikan kemunculan pil perancang lelaki pertama dalam beberapa tahun lagi.