SEDAR atau tidak, dua daripada tiga lelaki dewasa berisiko mengalami masalah kesihatan seksual sepanjang hayat termasuklah pancut awal.
Tidak kurang juga yang mengalami masalah berkaitan isu fungsi ereksi (erectile dysfunction).
Berdasarkan dapatan kajian antarabangsa, mereka yang mengalaminya bukan sahaja hilang keyakinan diri, malah turut memberi kesan terhadap keharmonian rumah tangga serta kesejahteraan keluarga.
Menerusi Seminar Pengukuhan Dan Sambutan Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki, Pengarah Urusan HIM Wellness, Dr Ahmad Samhan mendedahkan kebanyakan masalah tersebut diceritakan golongan isteri kerana para suami berasa malu.
Susulan itu, tegas beliau, golongan lelaki tidak seharusnya berasa malu kerana rawatan dan solusi sudah ada dalam pelbagai bentuk.
Kaedah rawatan moden seperti shockwave boleh membantu memulihkan aliran darah dalam zakar.
"Punca masalah boleh datang daripada faktor kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, tahap hormon rendah, mahupun gaya hidup tidak sihat termasuk stres dan merokok.
"Perubahan gaya hidup seperti berhenti merokok, mengawal paras gula serta bersenam dapat membantu mengatasinya.
"Kaedah moden seperti rawatan shockwave juga boleh membantu memulihkan aliran darah dalam zakar," tambahnya.
Selain itu, Dr Ahmad Samhan menyeru golongan lelaki yang mengalami masalah mati pucuk dan pancut awal untuk melakukan senaman kegel serta teknik kawalan supaya dapat mengatasi isu yang dialami.
Pengambilan makanan tambahan berdaftar yang selamat juga mampu membantu meningkatkan kualiti kesihatan seksual lelaki.
Terdahulu, seminar tersebut dianjurkan Klinik Kesihatan Sungai Besi dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM).
Program itu bertujuan membongkar mitos serta memberi pendedahan tentang fakta sebenar berkaitan kesihatan lelaki yang sering dianggap isu taboo.