suria

Waspada fasa aktif… Juruterapi kongsi kes menyayat hati, perkembangan normal si kecil berubah merosot sebab kepala cedera

Perkembangan kanak-kanak boleh merosot disebabkan pernah terjatuh. -Gambar hiasan

KANAK-KANAK yang aktif cenderung untuk mudah terjatuh dan cedera.

Menerusi pendedahan di Threads, seorang ibu yang juga juruterapi kanak-kanak mendedahkan antara risiko yang mungkin dialami si kecil apabila kecederaan melibatkan bahagian kepala.

Ini kerana bayi yang awalnya membesar dalam keadaan normal berkemungkinan mengalami masalah antaranya mula hilang perkataan bermakna dan memerlukan bantuan.

Berkongsi pengalaman, Nurul Huda Kay berkata, terdapat beberapa kes kanak-kanak normal dengan skor APGAR tinggi masa dilahirkan mengalami masalah perkembangan.

Skor APGAR merujuk kepada Appearance, Pulse, Grimace, Activity, Respiration iaitu satu sistem penilaian yang digunakan oleh doktor atau bidan untuk menilai keadaan fizikal bayi baru lahir pada minit pertama dan kelima selepas kelahiran.

Kanak-kanak yang baru belajar berdiri dan berjalan cenderung untuk jatuh.

Kanak-kanak yang baru belajar berdiri dan berjalan cenderung untuk jatuh.

Ia bertujuan menentukan sama ada bayi berada dalam keadaan sihat atau memerlukan rawatan perubatan segera.

"Sepanjang pengalaman bekerja mengendalikan kes paediatrik dalam bidang special needs, ada beberapa kes yang lahir normal dan tiada masalah perkembangan, tetapi disebabkan pernah jatuh masa bayi, semuanya berubah.

"Baru-baru ni ada kes yang datang umur dua tahun enam bulan, sebelum dua tahun dimaklumkan perkembangan dia normal macam biasa... boleh bercakap dan ikut arahan. 

"Kesan daripada jatuh, kepalanya bengkak, tapi tiada pendarahan dalaman. 

"Warded selama dua minggu dan seterusnya dirujuk ke OT (Occupational Therapy) disebabkan perkembangannya merosot," jelasnya.

Malah ujar Nurul Huda, kanak-kanak terbabit juga mula hilang perkataan bermakna selain bermain kasar dengan rakan sebaya dan memerlukan bantuan dalam banyak perkara sebelum boleh diterima masuk ke playschool

Lebih menyedihkan apabila ibunya terpaksa berhenti kerja bagi memberi fokus pada terapi anak.

Tambahnya lagi, bayi yang berada di fasa baru mula belajar duduk, merangkak dan berdiri sepatutnya diberi perhatian lebih bagi mengelakkan kecederaan dalaman berlaku.

Artikel Lain