MENGGUNAKAN putik kapas atau cotton bud sememangnya memudahkan urusan membersihkan telinga.
Selain digunakan untuk bayi, golongan dewasa juga gemar menggunakannya.
Namun sedarkah anda, ramai yang mengalami masalah di dalam bahagian telinga akibat penggunaan kerap putik kapas.
Terbaharu, seorang wanita berkongsi pengalaman pahit rakannya yang terpaksa menanggung kos rawatan sehingga RM11,000 disebabkan putik kapas.
"Perkara yang aku tak akan buat adalah mencuci telinga menggunakan putik kapas.
"Kawan aku tu, disebabkan cotton bud dia kehabisan RM11,000," ujarnya berkongsi cerita di laman Thread.
Menurut wanita ini, rakannya perlu menjalani pembedahan telinga yang melibatkan jumlah hampir RM11,000.
Terdapat individu yang terpaksa memakai alat pendengaran disebabkan penggunaan putik kapas.
Tanpa menjelaskan secara terperinci apa yang berlaku, dia memaklumkan telinga rakannya itu berlubang disebabkan kesan penggunaan putik kapas.
"Nak tutup lubang tu perlulah jalani pembedahan. Selepas itu bahagian berkenaan tak boleh kena air walaupun sedikit dan perlu sentiasa kering.
"Tapi terkena juga air dan perlu dirujuk semula kepada pakar sebab fungus aktif... sakit dan merumitkan," tambahnya lagi.
Dalam pada itu, dia turut berkongsi nasihat doktor yang menggalakkan penggunaan tisu untuk mencuci bahagian luar telinga.
Ia berikutan, telinga merupakan bahagian tubuh yang paling sensitif.
Di hantarannya, beberapa individu lain turut berkongsi pengalaman sama menggunakan putik kapas sehingga ada yang terpaksa memakai alat pendengaran.