suria

Demam menggigil hingga usus bocor, pemuda terpaksa pakai ‘beg najis’ lebih 6 bulan akibat tifoid... Dijangkiti virus salmonella lepas ke bazar Ramadan

Safwan terpaksa memakai stoma disebabkan jangkitan tifoid yang dialami.

DI sebalik pelbagai stereotaip mengenai pengambilan vaksin, ramai menyatakan imunisasi penting bagi melindungi diri sendiri dan orang lain.

Maka tidak hairanlan kisah tular seorang anak muda berusia lingkungan 30-an yang dijangkiti demam kepialu atau tifoid mengundang perhatian warga maya.

Tambahan pula, penyakit tifoid dijangkiti melalui makanan yang berpunca daripada bakteria salmonella typhi mengakibatkan penghidapnya mengalami demam berpanjangan.

Berkongsi cerita dengan mStar, dia yang ingin dikenali sebagai Safwan berkata, gejala awal dialaminya adalah sakit pinggang yang ringan.

Namun dalam tempoh lima bulan, keadaan kesihatannya semakin merosot sehingga tidak dapat bekerja selain sukar mendaki tangga.

"Saya pergi hospital swasta, kemudian dihantar ke hospital kerajaan selepas CT Scan dan perlu warded selama dua minggu.

Safwan dirawat selama enam bulan di dalam hospital.

Safwan dirawat selama enam bulan di dalam hospital.

"Mereka tidak cek apa-apa tapi apabila balik rumah, badan masih lemah sehinggakan tidak dapat pergi kerja... naik tangga pun tak larat.

"Situasi dialami itu berlarutan sehingga kira-kira lima bulan iaitu dari April 2024 hingga Oktober tahun yang sama," kongsinya yang pada awalnya beranggapan ia adalah penyakit sendi biasa.

Keadaan kesihatan yang semakin lemah membuatkan dia akhirnya pengsan selepas tiba-tiba diserang demam menggigil.

Lebih membimbangkan apabila najisnya berwarna hitam selain mengalami perut kembung.

"Saya dimasukkan ke zon merah dengan paras hemoglobin dalam darah sekitar 3.9 manakala bacaan tekanan darah adalah 70.

"Masa inilah baru ada pakar mencadangkan supaya saya menjalani ujian virus termasuk tifoid.

"Pada masa sama saya perlu dibedah kerana usus bocor dan menggunakan stoma (beg najis) untuk sementara waktu," tambahnya yang terpaksa tinggal di hospital selama enam bulan.

Malah katanya, hasil semakan dan penelitian punca virus salmonella yang diperoleh adalah dari Bazar Ramadan yang dikunjungi sebelum bermulanya gejala kesakitan sendi.

Umpama jatuh ditimpa tangga, dia yang ketika itu bertugas sebagai eksekutif penyelidik dinasihatkan untuk melepaskan jawatan kerana masalah kesihatan yang dialami.

Keadaan terkini Safwan selepas menjalani pembedahan reversal stoma pada June lalu.

Keadaan terkini Safwan selepas menjalani pembedahan reversal stoma pada June lalu.

Meskipun sedih namun Safwan menzahirkan rasa syukur apabila dia dibenarkan keluar hospital sekitar April lalu kerana keadaan kesihatan semakin memberangsang.

Pun begitu, dia masih perlu menggunakan stoma sehingga akhirnya 'bebas' pada Jun lalu.

"Saya ikut nasihat pakar dan Alhamdulillah pada Jun lalu mereka buat keputusan untuk jalani pembedahan reversal stoma," jelasnya.

Pembedahan reversal stoma adalah untuk menyambungkan semula usus yang sebelum ni dialih keluar melalui stoma (lubang di perut) bagi membolehkan pesakit membuang najis secara normal.

Dia yang kembali pulih seperti sedia kala bagaimanapun perlu hadir ke hospital mengikut janji temu yang ditetapkan bagi melihat perkembangan terkini darah dan bahagian gastroenterology.

Bimbang perkara sama berulang pada masyarakat, Safwan berharap pengendali makanan mempertimbangkan pengambilan vaksin tifoid.

Malah katanya, individu tersebut juga perlu menjaga kebersihan diri masing-masing terutama selepas keluar dari tandas.

Dalam pada itu, Safwan juga menyatakan dia menghasilkan buku tentang pengalaman mengharungi demam kepialu yang dijangka diterbitkan pada Oktober nanti.

Artikel Lain