APABILA seseorang meninggal dunia, segala aset miliknya seperti rumah, kenderaan dan sebagainya tidak boleh serta-merta dipindahkan kepada waris.
Proses penukaran nama aset ini perlu dibuat mengikut saluran undang-undang bagi memastikan hak waris yang sah terpelihara dan tidak berlaku pertikaian.
Ramai yang masih keliru tentang langkah-langkah yang perlu diambil terutamanya melibatkan dokumen penting atau institusi yang berkaitan.
ARTIKEL BERKAITAN: Nak gaji besar tapi tiada kelulusan tinggi? Cuba lakukan kerja ini, pendapatan boleh cecah RM10,000 sebulan
Oleh itu, memahami prosedur ini bukan sahaja penting untuk urusan pentadbiran, malah boleh mengelakkan masalah di kemudian hari.
Justeru, kali ini mStar kongsikan secara ringkas dan mudah mengenai cara menukar nama kenderaan milik si mati kepada waris yang berhak sebagaimana perkongsian seorang ejen insurans ini.
1. Selesaikan pembahagian harta
Kenderaan milik individu yang telah meninggal dikira sebagai harta pusaka. Disebabkan itu, pembahagian harta pusaka perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Anda memerlukan salah satu dari dokumen berikut untuk memulakan proses pertukaran nama atau hak milik pemilik meninggal dunia:
- Surat Perintah Mahkamah
- Surat Geran Probet (Grant Letter of Probate)
- Surat Akuan Amanahraya
- Surat Pentadbir Pusaka
Pemindahan nama aset selepas kematian pemilik perlu melalui proses perundangan. -Gambar hiasan
2. Ujian Puspakom
Untuk ujian ini, anda memerlukan geran asal kenderaan.
Kunjungi laman web Puspakom untuk menyemak lokasi Puspakom terdekat, telefon atau datang sendiri ke Puspakom untuk buat temujanji Ujian Tukar Hakmilik (B5).
Pada hari ujian, bawa kenderaan bersama dengan geran asal.
Setelah selesai ujian, anda akan dapat surat keputusan pemeriksaan Puspakom iaitu (Lulus atau Gagal).
Jika lulus, boleh teruskan dengan proses tukar nama.
3. Buat insurans kenderaan atas nama pemilik baharu
Sebelum ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk proses tukar nama, pastikan beli insurans kenderaan dahulu atas nama pemilik baharu.
Beritahu ejen insurans bahawa kereta dalam proses tukar nama.
4. Proses tukar nama
Anda perlu lengkapkan borang berikut dan sediakan dokumen berkaitan iaitu:
- Dua salinan borang TM3 (Borang Senarai Semak)
- Dua salinan borang JPJK3A (Borang Pertukaran Milikan Kenderaan)
- Geran asal
- Surat lulus Pemeriksaan Tukar Hakmilik (B5) Puspakom
- Salah satu dokumen seperti di langkah pertama.
Anda dinasihatkan hadir sendiri di JPJ untuk urusan tukar nama.
Jika menggunakan wakil, perlu isi borang tambahan serta maklumat pengesahan identiti.
5. Perbaharui cukai jalan
- Setelah meddapat geran baharu, boleh terus bayar cukai jalan di kaunter JPJ.