DALAM era teknologi moden, masa yang kita habiskan di depan skrin seperti telefon pintar, komputer, dan televisyen semakin meningkat.
Namun, persoalan sama ada masa skrin yang berlebihan boleh menyebabkan masalah pada otak seperti demensia mula menjadi kebimbangan ramai.
Tahukah anda bahawa penggunaan berlebihan peranti digital boleh memicu kepada istilah yang dikenali sebagai demensia digital?
ARTIKEL BERKAITAN: Pakar dedah bahaya media sosial kepada kanak-kanak bawah 13 tahun, trauma boleh berlarutan hingga dewasa
Demensia digital adalah istilah yang digunakan oleh sesetengah pakar untuk menerangkan perubahan dalam fungsi otak akibat penggunaan teknologi yang terlalu banyak.
Walaupun istilah ini belum diiktiraf sebagai penyakit perubatan rasmi, kajian menunjukkan bahawa masa skrin yang berlebihan boleh memberi kesan negatif pada otak kita.
Gejala demensia digital
Gejala demensia digital hampir sama dengan demensia biasa, antaranya:
Masalah ingatan: Sukar mengingat perkara baru atau cepat lupa.
Kurang fokus: Susah untuk memberi perhatian pada sesuatu perkara dalam jangka masa lama.
Kemahiran berfikir terjejas: Sukar menyelesaikan masalah atau berfikir secara kritis.
Perubahan emosi: Mudah marah, stres, dan mood berubah-ubah.
Pakar menyarankan 'screentime' di luar waktu kerja tidak melebihi dua jam sehari. -Gambar hiasan
Walaupun banyak garis panduan diberikan untuk kanak-kanak, namun masa skrin (screen time) yang sesuai untuk orang dewasa kurang jelas.
Walau bagaimanapun, pakar mencadangkan supaya masa skrin di luar kerja tidak melebihi dua jam sehari.
Kajian menunjukkan bahawa mereka yang menghabiskan lebih enam jam di depan skrin berisiko tinggi mengalami kemurungan dan masalah kognitif.
Berikut adalah beberapa langkah mudah yang boleh membantu mengurangkan risiko demensia digital:
Hadkan masa skrin: Tetapkan waktu tertentu untuk berehat daripada menggunakan peranti digital.
Aktiviti fizikal: Bersukan atau berjalan membantu otak kekal sihat.
Rangsangan otak: Banyakkan bermain teka-teki, permainan yang mencabar minda, atau berinteraksi dengan orang lain.
Tidur mencukupi: Pastikan tidur yang berkualiti untuk menyokong fungsi otak.
Kesedaran: Fahami risiko masa skrin berlebihan dan amalkan gaya hidup seimbang.