KETIKA penggunaan media sosial dan gajet semakin meluas dalam kalangan kanak-kanak, pakar memberi amaran bahawa golongan bawah umur khususnya di bawah 13 tahun belum bersedia dari sudut kognitif, emosi dan disiplin untuk berhadapan dengan dunia digital yang kompleks dan tidak terkawal.
Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood, menegaskan bahawa kanak-kanak bawah 13 tahun masih dalam fasa belajar memahami apa yang betul, salah dan selamat.
“Mereka cepat teruja, mudah percaya, dan belum cukup matang untuk menilai risiko. Apabila melihat trend berbahaya di TikTok, mereka mungkin meniru tanpa berfikir panjang.
“Sama seperti kita tak benarkan anak kecil menyeberang jalan seorang diri, kita juga perlu berhati-hati dengan pendedahan mereka kepada media sosial,” katanya kepada mStar.
Ketagihan senyap mengubah tabiat
Menurut Mediha, algoritma yang digunakan oleh platform seperti TikTok, YouTube dan Instagram mempercepatkan proses ketagihan dengan menyajikan kandungan tanpa henti berdasarkan minat pengguna.
“Bila tonton satu video, muncul lagi yang lebih menarik. Kanak-kanak belum ada kekuatan dalaman untuk menghentikan diri daripada terus menonton.
"Ini mengubah cara otak mereka bekerja dan mereka jadi terbiasa dengan rangsangan segera,” katanya.
Mediha memaklumkan algoritma mempercepatkan proses ketagihan dengan menyajikan kandungan tanpa henti berdasarkan minat pengguna.
Akibatnya, tambah beliau, ramai kanak-kanak kini sukar memberi tumpuan untuk membaca atau melakukan aktiviti yang memerlukan fokus jangka panjang, walaupun mampu duduk berjam-jam menonton video pendek.
Selain itu, Mediha turut memberi amaran kegagalan golongan itu memahami media sosial dengan betul juga mengundang buli siber yang kini menjadi isu semakin membimbangkan.
Ibu bapa perlu memantau dan mengawasi pengunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak. -Foto IZZRAFIQ ALIAS/SMG
Jelasnya, tidak seperti buli fizikal, buli dalam talian berlaku secara berterusan dan tanpa sempadan ia masuk terus ke ruang peribadi mangsa melalui telefon atau tablet.
“Bayangkan setiap kali buka skrin, yang muncul adalah komen negatif atau gambar aib. Ini mencalar keyakinan diri dan boleh mencetuskan rasa malu, keresahan atau kemurungan.
"Lebih membimbangkan, trauma ini boleh berterusan sehingga ke alam dewasa," katanya.
Peranan ibu bapa dan masyarakat
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, menyatakan bahawa isu utama dalam penggunaan gajet oleh kanak-kanak ialah kegagalan disiplin bukan hanya anak-anak, tetapi juga ibu bapa.
“Kalau ibu bapa sendiri tidak kawal masa penggunaan gajet atau melayari media sosial di rumah, bagaimana anak-anak mahu ikut?
"Kita perlu wujudkan keseimbangan antara masa belajar, rehat dan penggunaan teknologi,” katanya.
Beliau turut menolak pendekatan larangan sepenuhnya, sebaliknya mencadangkan pendidikan dan kefahaman sebagai langkah lebih berkesan.
“Larangan penuh tidak akan menyelesaikan masalah. Mereka masih boleh mengakses gajet, sama ada selepas waktu sekolah atau ketika ibu bapa tiada di rumah. Apa yang lebih penting ialah pendidikan dan penjelasan tentang baik buruk penggunaan gajet.
“Gajet ini seperti pisau, ia bermanfaat jika digunakan dengan betul, tetapi memudaratkan jika disalah guna. Sebab itu, pemantauan, penerangan dan bimbingan jauh lebih berkesan," katanya.
Tambah beliau, sekadar bergantung kepada undang-undang seperti Akta Keselamatan dalam Talian 2025 tidak memadai untuk membendung eksploitasi siber terhadap kanak-kanak secara mutlak.
Dr Mohamad Ali berpandangan isu utama dalam penggunaan gajet oleh kanak-kanak ialah kegagalan disiplin bukan hanya anak-anak, tetapi juga ibu bapa.
“Akta ini penting sebagai langkah kawalan, tetapi untuk cegah sepenuhnya adalah sukar kerana akses kepada kandungan digital terlalu terbuka,” ujarnya.
Mengulas mengenai kandungan media sosial yang tidak sesuai untuk kanak-kanak, Dr Mohamad Ali mencadangkan sistem pengkelasan kandungan seperti yang diamalkan dalam rancangan televisyen dan radio turut diterapkan dalam platform digital.
“Kita boleh ambil contoh seperti pengkelasan rancangan TV dan radio – bawah 13, bawah 15 dan sebagainya. Kandungan dalam talian juga perlu ada pengkelasan (rating) agar pengguna tahu mana yang sesuai.
“Verifikasi umur yang ketat sangat penting bagi mengurangkan akses kanak-kanak kepada kandungan tidak sesuai. Tetapi yang paling utama ialah kita perlu mencegah sebelum memulihkan, dan itu hanya boleh dilakukan dengan ilmu dan kesedaran," katanya.
Beliau juga menyarankan agar mekanisme verifikasi umur diperkukuhkan serta disertai dengan usaha mendidik masyarakat secara meluas mengenai keselamatan dan etika dalam talian.
“Pendidikan itu perlu dimulakan di pelbagai peringkat sama ada di sekolah, di rumah mahupun melalui media massa. Semua pihak perlu memainkan peranan,” tegasnya.