RAMAI dalam kalangan kita menganggap tidur dengan lampu menyala adalah perkara biasa dan tidak memberi apa-apa kesan sampingan.
Namun tahukah anda, kajian sains menunjukkan bahawa tabiat ini boleh mengganggu keseimbangan sistem biologi tubuh dan secara tidak sedar mempercepatkan proses penuaan.
Ramai tidak tahu, tubuh manusia dicipta untuk mengikuti ritma sirkadian, iaitu jam biologi semula jadi yang diselaraskan dengan kitaran siang dan malam.
Apabila malam tiba dan suasana menjadi gelap, otak akan merangsang pengeluaran hormon melatonin, iaitu hormon tidur yang turut berfungsi sebagai antioksidan semula jadi.
Melatonin memainkan peranan penting dalam proses pemulihan dan perlindungan tubuh:
- Memperbaiki sel-sel yang rosak semasa tidur.
- Melindungi DNA daripada kerosakan akibat tekanan oksidatif.
- Membantu otak menyusun semula sistem hormon dan imunisasi.
Namun begitu, pendedahan kepada cahaya walaupun dalam kadar yang rendah ketika tidur boleh mengganggu penghasilan melatonin secara semula jadi.
Otak yang keliru dengan isyarat cahaya akan menghasilkan hormon ini dalam jumlah lebih rendah, sekali gus menjejaskan proses pembaikan badan semasa tidur.
Tidur yang mencukupi dan berkualiti penting untuk kesihatan. -Gambar hiasan
Satu kajian oleh Northwestern University, Chicago (2022) mendapati bahawa tidur dengan pencahayaan walaupun samar boleh menyebabkan perubahan fisiologi ketara, antaranya:
- Peningkatan kadar gula dalam darah.
- Degupan jantung yang lebih tinggi semasa tidur.
- Peningkatan risiko obesiti dan penuaan sel.
Secara ringkas, meskipun seseorang kelihatan tidur lena, sistem dalaman tubuh seperti hormon dan metabolisme mungkin tidak 'berehat sepenuhnya'.
Ini membawa kesan kumulatif daripada masa ke masa terhadap kesihatan dan proses penuaan.
Benar, sesetengah individu berasa kurang selesa atau tidak dapat tidur dalam keadaan gelap sepenuhnya.
Namun daripada sudut fisiologi dan kesihatan, tidur dalam gelap sepenuhnya masih merupakan pilihan terbaik untuk menyokong fungsi hormon, imunisasi, dan proses regenerasi sel badan.
Bagi mereka yang mungkin berdepan dengan masalah ini, berikut beberapa cadangan yang boleh dijadikan panduan:
- Gunakan lampu malap berwarna kuning atau jingga, elakkan cahaya putih atau biru.
- Elakkan penggunaan skrin seperti telefon dan televisyen sekurang-kurangnya satu jam sebelum tidur.
- Biarkan mata dan otak mendapat isyarat malam yang sebenar untuk menggalakkan penghasilan melatonin.


