MENJADI seorang ibu tunggal bukanlah satu pilihan, tetapi realiti yang perlu dihadapi oleh ramai wanita hari ini apabila berpisah dengan bekas suami.
Selepas perceraian, hak penjagaan anak lazimnya jatuh sepenuhnya ke bahu si ibu, sekali gus membuatkan tanggungjawab yang dipikul amat berat lebih-lebih lagi jika bekas suami culas soal nafkah.
Demikian juga dengan situasi yang dilalui wanita ini apabila bekas suaminya tidak memberi kerjasama sehingga kes tuntutan nafkah mengambil masa lama sebelum diputuskan mahkamah.
ARTIKEL BERKAITAN: Takut dilabel ‘gold digger’, isteri pendam rasa sedih tak dapat nafkah bulanan- “Saya ada gaji RM5,000 sebulan”
"Pengalaman saya sendiri... bekas suami tidak pernah hadir ke mahkamah. Selepas tiga kali sebutan, terus bicara sebelah pihak. Mahkamah putuskan RM1,200 untuk tiga orang anak.
"Saya bersyukur. Walau hakikatnya jumlah itu tidak cukup membesarkan mereka dalam dunia yang keras ekonominya hari ini, dari situ saya belajar bahawa reda bukan bererti kita kalah," tulisnya dalam satu perkongsian di Threads.
Memahami pahit getir sesetengah ibu tunggal yang mungkin berdepan dengan situasi seperti dirinya, wanita tersebut tampil memberi 10 nasihat dan pesanan buat mereka yang sedang 'berjuang' agar terus kuat menghadapi ujian.
Nasihat-nasihat yang diberikan dianggap berlainan dengan pesanan yang banyak atau sering dikongsi di media sosial.
Bukan mudah seorang ibu tunggal menggalas tanggungjawab membesarkan anak sendirian. -Gambar hiasan
Berikut adalah 10 nasihat diberikan:
1. Mahkamah menilai berdasarkan kemampuan suami, bukan kehendak bekas isteri. Jangan kecewa bila jumlahnya kecil. Fokus pada konsistensi, bukan angka.
2. Jika anak bersekolah swasta, pertimbangkan untuk tukar ke sekolah kerajaan.
3. Bersyukurlah walau sedikit yang diberi. Betul, syukur bukan tanda kita cukup, tapi tanda masih kuat dan tidak putus harap kepada rezeki Allah.
4. Belajar suaikan dengan keadaan, ubah gaya hidup, susun semula kewangan, kurangkan perbelanjaan bukan keperluan.
5. Jangan malu memohon bantuan zakat atau JKM. Itu bukan aib, itu hak. Kadang dari situ Allah bukakan pertolongan yang lain.
6. Simpan semua bukti perbelanjaan anak seperti resit yuran, ubat dan sebagainya. Semua ini penting kalau mahu tuntut semula nafkah tertunggak akan datang.
7. Anggap nafkah bekas suami sebagai bonus, bukan sumber utama. Kita tak boleh bergantung pada orang yang sudah memilih jalan lain.
8. Jika bekas suami culas bayar, jangan diam. Rekod setiap bulan, failkan penguatkuasaan bila perlu. Keadilan perlu dituntut, bukan ditunggu.
9. Didik anak-anak dengan kasih, bukan dendam. Cukup tunjuk siapa yang tetap berjuang tanpa banyak alasan.
10. Bangun dan bina hidup baru dengan harga diri. Seorang ibu tidak pernah menyerah, itulah nilai yang anak-anak akan kenang sampai bila-bila.


