DALAM mengecapi kegembiraan dan keselesaan hidup seharian, sering kali kita terlepas pandang akan kewujudan insan-insan yang kurang bernasib baik, terutamanya mereka yang hidup dengan keperluan khas.
Menyedari hakikat ini, pelbagai pihak tampil untuk memainkan peranan dalam membawa keceriaan dan harapan kepada golongan ini yang sangat memerlukannya.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya, Star Golden Hearts Award (SGHA) 2025 telah bekerjasama dengan McDonald's Malaysia untuk menganjurkan satu program sukarelawan khas di Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah, Petaling Jaya.
Rumah kebajikan ini merupakan tempat perlindungan kepada kira-kira 110 penghuni yang kurang bernasib baik dan berkeperluan khas.
Dalam usaha membawa kegembiraan dan sokongan kepada mereka, seramai 10 sukarelawan telah terlibat dalam program ini bagi menyemai nilai kasih sayang, kemanusiaan dan semangat kebersamaan.
Menurut Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald's Malaysia, Melati Abdul Hai, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti.

Majlis sambutan hari jadi turut diadakan bagi meraikan dan menceriakan penghuni.
"Melalui program ini, kami bukan sahaja ingin membawa keceriaan kepada penghuni rumah kebajikan, tetapi juga menzahirkan semangat kesukarelawanan dan kasih sayang terhadap komuniti yang memerlukan," katanya.
Beliau menambah, program sedemikian sejajar dengan matlamat McDonald's Malaysia untuk terus menjadi 'jiran yang prihatin', di samping memupuk semangat empati dalam kalangan warga korporat dan komuniti.
Ujarnya, pemilihan pusat kebajikan berkenaan bertepatan dengan aspirasi SGHA dan McDonald's Malaysia untuk meraikan golongan yang sering terpinggir daripada perhatian masyarakat.
SGHA dan McDonald's Malaysia berganding bahu berkongsi keceriaan dengan golongan kurang bernasib baik.
"Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah merupakan antara institusi yang memainkan peranan penting dalam menjaga dan mendidik anak-anak berkeperluan khas.
"Kanak-kanak di sini melambangkan keberanian, ketabahan, dan semangat positif yang wajar dicontohi, nilai yang juga menjadi teras kepada penganjuran Star Golden Hearts Award," tambah Melati.
Melalui program ini, sukarelawan tidak hanya berkongsi keceriaan bersama penghuni, malah turut memberikan sokongan moral kepada penjaga dan petugas rumah kebajikan yang berkhidmat penuh dedikasi.
Pelbagai aktiviti dianjurkan bersama penghuni antaranya sambutan hari jadi, permainan dan pertunjukan silap mata yang menceriakan suasana serta mengukuhkan ikatan antara sukarelawan dan anak-anak di pusat penjagaan tersebut.

Kakitangan McDonald's Malaysia menyantuni kanak-kanak istimewa menikmati hidangan.
Pada program tersebut juga, McDonald's Malaysia menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada pusat jagaan berkenaan yang diterima oleh Presidennya, R Umah Kumar.
Dalam pada itu, Melati berharap agar program sebegini dapat diperluaskan ke lebih banyak rumah kebajikan di seluruh negara, dengan penglibatan lebih ramai sukarelawan daripada pelbagai latar belakang termasuk warga kerja McDonald's Malaysia, Star Media Group, dan masyarakat setempat.
"Budaya doing good together ini perlu disuburkan agar semangat kesukarelawanan terus hidup dalam kalangan rakyat Malaysia," jelasnya lagi.
Beliau turut menyeru agar lebih banyak organisasi tampil memainkan peranan aktif dalam membantu masyarakat menerusi program seperti ini sebagai usaha memperkukuh jaringan sokongan sosial terutama bagi golongan yang memerlukan.
"Akhir sekali, kami mahu setiap inisiatif yang dijalankan meninggalkan kesan positif dan berpanjangan, mencipta senyuman, memberi harapan, dan membawa perubahan sebenar kepada mereka yang memerlukan," ujarnya.

Melati (kiri) menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada Presiden Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah, R Umah Kumar (tengah).
Sementara itu, Umah melahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada SGHA dan McDonald's Malaysia atas sokongan serta keprihatinan mereka terhadap pusat jagaan tersebut.
Ujarnya, sumbangan dan program sebegini bukan sahaja membantu meringankan beban pusat jagaan, malah memberi semangat dan motivasi kepada penghuni serta petugas yang komited dalam menjaga dan mendidik anak-anak berkeperluan khas.
"Sumbangan yang diberikan ini bukan sahaja bermanfaat untuk keperluan harian, tetapi sangat membantu untuk menggembirakan penghuni terutamanya menjelang Deepavali tidak lama lagi, kerana kami di sini berbilang kaun dan akan menyambut setiap perayaan bersama-sama," ujarnya.


