suria

Bersikap dingin, buat salah tapi tak menyesal… Kenali tanda-tanda awal anak ada ciri psikopat

Perubahan anak-anak kepada sikap negatif boleh menjadi tanda-tanda kepada psikopat. -Gambar hiasan

INSIDEN berdarah yang berlaku di sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, ternyata mengejutkan negara lebih-lebih lagi suspek merupakan seorang remaja.

Ia secara tidak langsung menimbulkan pelbagai persoalan, antaranya mengapa dan bagaimana seseorang yang masih dalam kategori kanak-kanak sanggup melakukan perbuatan ganas sedemikian rupa.

Jika merujuk kepada beberapa kajian, tingkah laku ganas seperti ini sering kali dikaitkan dengan ciri-ciri psikopat, di mana individu menunjukkan kekurangan empati, rasa bersalah, dan keprihatinan terhadap orang lain. 

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar lelaki tikam senior direman 7 hari, siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

ARTIKEL BERKAITAN: Pakar kongsi fakta individu ASPD, beberapa pembunuh bersiri terkenal dalam sejarah bermula dengan aniaya haiwan

Psikopat pada usia muda boleh menjadi tanda gangguan perkembangan emosi dan sosial yang serius jika tidak dikesan dan dirawat segera.

Menurut laman Parents.com, walaupun istilah 'psikopat' bukanlah satu diagnosis rasmi dalam bidang kesihatan mental, ia digunakan untuk menggambarkan sekumpulan ciri dan tingkah laku yang menunjukkan seseorang itu tidak berperasaan, tidak mengambil peduli, dan suka menipu. 

Dalam istilah psikiatri terkini, corak tingkah laku ini dikaitkan dengan bentuk serius Gangguan Keperibadian Antisosial (Antisocial Personality Disorder atau ASPD).

Oleh itu, ibu bapa, penjaga, dan ahli keluarga lain perlu mengenal pasti tanda-tanda awal psikopat serta memahami perilaku dan ciri-ciri yang mungkin muncul terhadap kanak-kanak pada pelbagai peringkat usia.

Tanda-tanda psikopati menurut laman Psychopathy.is adalah seperti berikut:

1. Kanak-kanak berusia 5-10 tahun

- Dingin atau tidak menunjukkan kasih sayang

- Berkelakuan negatif termasuk berbohong, mencuri, melanggar peraturan, tantrum, atau agresif

- Tidak nampak mengambil peduli tentang akibat sesuatu perkara

2. Remaja berusia 11-17 tahun

- Tiada rasa bersalah atau menyesal selepas melakukan kesalahan

- Tidak peduli dengan perasaan orang lain

- Bertindak atau berasa lebih hebat daripada orang lain

- Sukar untuk mengekalkan persahabatan

- Tidak mengambil peduli prestasi di sekolah

- Mungkin terlibat dalam aktiviti haram

Mother and asian baby crying

Ibu bapa bertanggungjawab mengesan sebarang perubahan sikap anak-anak. -Gambar hiasan

Kanak-kanak yang menunjukkan ciri psikopati awal memerlukan rawatan khusus kerana mereka tidak mudah terkesan dengan kaedah disiplin biasa dan tidak peduli jika orang lain kecewa dengan tindakan mereka.

1. Terapi

Beberapa program rawatan untuk gangguan tingkah laku serius menggunakan intervensi berdasarkan ganjaran, di mana kanak-kanak memperoleh keistimewaan jika berkelakuan baik. 

Kajian menunjukkan pendekatan ini membantu memperbaiki pilihan tingkah laku mereka.

Kanak-kanak juga boleh mendapat manfaat dengan mempelajari tingkah laku pro-sosial, empati, kemahiran menyelesaikan masalah, dan pengenalan emosi.

Rawatan biasanya memberi tumpuan kepada meningkatkan keupayaan mereka mengawal marah dan kekecewaan.

2. Ubat-ubatan

Walaupun tiada ubat khusus untuk merawat simptom psikopati, ubat mungkin sebahagian daripada pelan rawatan.

Ubat antipsikotik seperti risperidone telah didapati dapat mengurangkan keganasan pada kanak-kanak dengan gangguan tingkah laku. 

Penyedia penjagaan kesihatan juga mungkin mencadangkan penstabil mood atau ubat lain untuk membantu mengawal ketidakseimbangan emosi.

Artikel Lain