suria

Tak pinjam duit, tiba-tiba ah long tuntut hutang! Wanita minta orang awam waspada scammer bagi barang 'free'

Orang ramai dinasihatkan berhati-hati jika didekati individu tidak dikenali ketika berkunjung ke pasar raya. -Gambar hiasan

DALAM era digital yang serba maju dan pantas ini, taktik penipuan juga semakin canggih. 

Scammer tidak lagi hanya beroperasi secara dalam talian, malah kini berani bergerak secara fizikal dan menyasarkan orang ramai di tempat awam seperti pasar raya dan pusat membeli-belah. 

Lebih membimbangkan, mereka menggunakan pendekatan mesra dan tidak mencurigakan, iaitu dengan menawarkan hadiah percuma. 

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan menangis dulu! Lakukan 3 perkara ini lepas sedar jadi mangsa scammer… Selamatkan wang baki dalam akaun

Terpanggil untuk menyebarkan kesedaran, seorang individu membuat perkongsian di laman Threads mengenai satu bentuk penipuan terbaharu yang semakin giat dilakukan dalam kalangan masyarakat.

"Satu penipuan baru telah muncul. Scammer akan menunggu di pintu masuk pasar raya atau pusat beli-belah. Mereka akan memilih individu berumur 18 tahun ke atas. 

"Mereka akan memberikan hadiah seperti susu, sekotak biskut, atau sebotol minuman, semuanya secara percuma," tulisnya.

Menurut individu tersebut, sebelum menyerahkan hadiah berkenaan, scammer akan meminta 'sasaran' mereka melakukan perkara-perkara berikut: 

- Mengimbas kod

- Memberikan kad pengenalan dan nombor telefon

- Merakam video anggukan (nod) sebagai 'pengesahan'. 

"Selepas itu, anda mungkin akan diberikan lebih banyak hadiah seperti power bank atau sekotak susu.

"Namun begitu, mereka akan menggunakan nombor kad pengenalan, nombor telefon, dan rakaman video anda untuk memohon pinjaman dengan 'loan shark' (ah long).

"Kemudian, anda akan didatangi oleh ah long yang menuntut bayaran balik," ujarnya.

Individu berkenaan dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak termakan dengan pujuk rayu scammer yang menawarkan barangan percuma. 

"Sila maklumkan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan anda, dan ambil langkah berjaga-jaga," tulisnya.

Di ruangan komen, rata-rata warga maya turut berkongsi pengalaman hampir serupa didatangi individu dipercayai scammer dengan modus operandi berbeza.

"Dekat pasar raya **** dia bagi sabun mandi buku tu. Lepas tu suruh isi maklumat. Memang tak lah... biasa orang tua-tua la ramai kena.

"Pernah tengok... modus operandi mereka biasanya target warga emas. Mereka akan tanya 'dah collect kupon ke belum?'. Warga emas memang minat kupon-kupon free ni. Lepas tu mereka akan kendalikan handphone mangsa.

"Satu lagi jenis scam yang minta sign konon nak selamatkan hutan, haiwan dan kanser. Mula-mula minta sign, lepas tu suruh derma bagi details kad untuk auto debit secara bulanan," antara komen netizen. 

Artikel Lain