suria

Kajian dedah rahsia blueberry... Saiz kecil, kesannya besar terhadap kesihatan tubuh

Buah blueberry mempunyai banyak khasiat, membantu kesihatan jantung.

KADANG-KADANG, satu perubahan kecil boleh memberi kesan besar kepada kesihatan.

Siapa sangka, menukar satu hidangan buah harian seperti epal, pisang atau anggur kepada beri biru (blueberry) boleh memberikan kesan besar kepada kesihatan jantung, tanpa menambah kalori!

Menurut satu kajian terbaharu yang diterbitkan dalam Annals of Medicine, perubahan kecil ini mampu meningkatkan pengambilan nutrien penting untuk kesihatan kardiovaskular.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita dikecam beri bayi madu demi turunkan jaundis, doktor beri amaran botulisme ragut nyawa

Berdasarkan corak pemakanan sihat yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), penyelidik telah memodelkan tiga pelan diet seimbang iaitu gaya Amerika, gaya Mediterranean dan gaya vegetarian.

Hasilnya, untuk ketiga-tiga pelan diet ini, apabila buah biasa ditukar kepada beri biru, anthocyanins (sebatian dalam blueberry) meningkat sehingga 94 peratus, bersama peningkatan dalam kandungan serat, serat larut dan vitamin C.

Semua nutrien tersebut penting untuk kesihatan jantung dan kesejahteraan tubuh.

Anda boleh cuba mempelbagaikan hidangan berasaskan blueberry mengikut cita rasa masing-masing.

Walaupun kajian ini melibatkan pelbagai jenis beri, blueberry menonjol kerana keistimewaannya, iaitu mudah diperoleh sepanjang tahun, kaya dengan nutrien dan versatil untuk apa jua hidangan.

Buah kecil ini juga merupakan sumber semula jadi vitamin C, vitamin K, mangan dan serat. 

Vitamin C membantu tubuh melawan radikal bebas, manakala seratnya pula membantu menurunkan tekanan darah.

Dengan menjadikan blueberry sebagai buah pilihan utama, anda bukan sahaja menambah warna dan rasa pada hidangan, malah meningkatkan nilai pemakanan harian.

Berikut merupakan cadangan pengambilan harian yang boleh dijadikan panduan: 

Sarapan sihat: Campurkan blueberry segar atau beku ke dalam smoothie, oat atau yogurt.

Salad: Tambah blueberry ke dalam salad hijau atau bijirin.

Snek cepat: Simpan blueberry dalam peti sejuk untuk kudapan sihat bila-bila masa.

Pencuci mulut: Buat popsicle (ais krim batang), yogurt beku, atau granita blueberry yang menyegarkan.

Dari segenggam kecil dalam hidangan sarapan pagi, kepada topping salad atau smoothie sejuk, perubahan kecil ini boleh memberi kesan besar kepada kesihatan jantung anda.

Artikel Lain

CEO GISB, 12 pemimpin dibebaskan