suria

Wanita dikecam beri bayi madu demi turunkan jaundis, doktor beri amaran botulisme ragut nyawa

Madu tidak selamat digunakan untuk bayi di bawah usia setahun walaupun ada petua mendakwa ia mampu menurunkan jaundis. -Gambar hiasan

LAMAN sosial kecoh dengan perdebatan warga maya susulan perkongsian seorang wanita yang secara terbuka mengakui memberi bayinya madu asli untuk menurunkan bacaan jaundis (kuning).

Wanita tersebut mendakwa petua berkenaan berkesan selepas bacaan jaundis bayinya turun daripada 193 kepada 133 selepas memberi madu asli beberapa kali.

ARTIKEL BERKAITAN: Bedung sampai kaki berbekas? Sebenarnya ini cara betul nak ‘balut’ bayi, jangan sampai mudaratkan si manja

"Menyesal sebenarnya sebab lambat buat tip madu asli ni. Total cucuk dekat tangan lima kali... kesian anak ibu.

"Terus jadi amalan dua minggu sekali hisap madu asli... bebas cucuk paha dan bahu," tulis wanita berkenaan. 

Perkongsian wanita itu bagaimanapun megundang kecaman ramai, dengan rata-ratanya menyifatkan dirinya sebagai ibu yang cuai dan tidak bertanggungjawab kerana tidak cakna mengenai pemakanan anak sendiri.

"Madu asli berisiko ada toksin botulinum, sejenis spora dari bakteria. Bayi tak tahan dengan spora kuman ni.

"Banyak kes bayi meninggal sebab keracunan clostridium botulinum. Kuman ni ada dalam madu.

"Cubaan membunuh anak sendiri yang boleh disabitkan akta 302 Kanun Keseksaan kalau anak dia meninggal akibat komplikasi bagi madu.

"Saya akan buat laporan polis memandangkan kebodohan dia memang tak boleh dibendung," demikian antara komen netizen. 

Perkongsian seorang wanita yang mengundang kecaman warga maya.

Memetik laman Theasianparent, madu tidak selamat untuk diberikan kepada bayi di bawah usia satu tahun.

Walaupun nampak selamat dan semula jadi, madu boleh mengandungi bakteria clostridium botulinum yang boleh menyebabkan botulisme bayi.

Apa itu botulisme bayi? 

Botulisme adalah sejenis keracuan makanan yang jarang berlaku tetapi sangat berbahaya. Apabila bayi menelan madu yang mengandungi spora clostridium botulinum, bakteria ini boleh membiak dalam usus mereka dan menghasilkan toksin yang menyerang sistem saraf.

Tanda botulisme

- Pergerakan lemah dan kelesuan

- Sukar menyusu atau menelan

- Sembelit yang teruk

- Pernafasan tidak teratur

- Kurang pergerakan

Jika anda tidak sengaja memberikan bayi madu, segeralah perhatikan tanda-tanda ini.

Segera ke hospital jika bayi anda menunjukkan tanda-tanda di atas selepas mengambil madu. 

Botulisme boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan segera.

Artikel Lain

CEO GISB, 12 pemimpin dibebaskan