suria

Hati-hati beli oleh-oleh di Thailand, produk balsam herba popular disahkan berbahaya

Pihak berkuasa Thailand mengesahkan produk Herbal Mixed Balm, Thai Eagle Brand tidak selamat digunakan. -Foto Thaiger

KALAU anda jenis yang suka beli balsam atau minyak herba Thailand setiap kali melancong ke negara Gajah Putih itu, mungkin selepas ini perlu lebih berhati-hati. 

Terbaharu, pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Thailand (FDA) mengeluarkan amaran kesihatan awam terhadap satu produk balsam herba popular yang didapati tidak selamat digunakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita dikecam beri bayi madu demi turunkan jaundis, doktor beri amaran botulisme ragut nyawa

Pihak berkuasa Thailand mengesahkan produk Herbal Mixed Balm, Thai Eagle Brand, Formula 2 (nombor pendaftaran G300/66), gagal mematuhi piawaian keselamatan selepas melalui ujian makmal rutin yang dijalankan baru-baru ini.

Produk berasaskan herba yang dipasarkan sebagai ubat tradisional itu didapati melanggar beberapa seksyen di bawah Akta Kawalan Produk Herba 2019. 

Sampel balsam tersebut diambil daripada sebuah kedai di daerah Chatuchak, Bangkok, sebelum dihantar ke Jabatan Sains Perubatan untuk analisis lanjut.

Tangkap layar (screenshot) laporan makmal terhadap produk balsam berkenaan.

Keputusan ujian makmal mendedahkan bahawa balsam berkenaan mengandungi mikroorganisma melebihi had yang dibenarkan, termasuk:

- Jumlah keseluruhan bakteria aerobik (Total Aerobic Microbial Count),

- Yis dan kulat (Yeasts and Mould Count), serta

- Kehadiran bakteria berbahaya jenis Clostridium spp.

Hasil ujian itu menyebabkan produk tersebut secara rasmi diisytiharkan sebagai produk herba tidak berkualiti dan melanggar Seksyen 60(b) serta Seksyen 72(6) di bawah akta berkenaan.

Pihak FDA memberi amaran bahawa penggunaan balsam yang tercemar ini boleh mendatangkan risiko kesihatan serius kepada pengguna.

"Produk ini tidak mematuhi peraturan pembuatan dan keselamatan, dan tidak sepatutnya digunakan dalam apa jua keadaan," tegas Timbalan Setiausaha Agung merangkap pemangku Ketua Pengarah FDA Thailand, Withit Supachaiyagul.

Susulan penemuan itu, orang ramai diminta berhenti menggunakan produk tersebut serta-merta dan melaporkan sebarang kesan sampingan kepada pihak berkuasa.

Menurut kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook Drama Addict, pihak FDA juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengeluar dan pengedar produk berkenaan serta meneruskan pemantauan bagi memastikan tiada lagi pelanggaran piawaian keselamatan berlaku.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pengguna dinasihatkan hanya membeli produk herba daripada sumber yang dipercayai dan memastikan setiap produk mempunyai kelulusan rasmi daripada FDA atau pihak berkuasa kesihatan.

Artikel Lain

CEO GISB, 12 pemimpin dibebaskan