suria

Cabaran No Nut November... Sebulan tanpa onani dan aktiviti seks, lelaki dakwa stamina meningkat, kurang stres

Ada lelaki mendakwa stamina mereka meningkat selepas sebulan tidak melakukan aktiviti seks. -Gambar hiasan AI

NO Nut November merupakan satu cabaran tular dalam kalangan lelaki untuk menahan diri daripada sebarang aktiviti seksual termasuk onani sepanjang bulan ini.

Cabaran ini dikatakan bertujuan menguji tahap kawalan diri, disiplin dan fokus dalam kehidupan seharian.

Malah, ramai yang beranggapan misi ini sebenarnya mempunyai kebaikan dari sudut kesihatan.

Bagaimanapun harus diingat bahawa sehingga kini tiada bukti saintifik yang menyokong fakta atau keberkesanannya.

Testimoni

Seorang lelaki mendedahkan dia menyedari berlaku perubahan pada dirinya selepas mengikuti cabaran tersebut pada tahun sebelum ini.

Tanpa mendedahkan identiti diri, dia mengakui sebulan tanpa seks membantu rutin senamannya dan memberi ‘perbezaan yang baik pada fizikal’.

Lelaki itu berkata dia berasa ‘sangat baik’ selepas menamatkan No Nut November yang didakwa membantu dirinya ‘belajar tentang kawalan diri dan kesabaran’.

Ketagihan onani boleh memberi kesan buruk kepada lelaki. -Gambar hiasan AI

Beberapa peserta lain mendakwa mereka merasakan kepuasan sebenar selepas berjaya menamatkan bulan November, manakala kebanyakan manfaat dikatakan berkaitan tahap testosteron yang didakwa lebih tinggi.

Menurut Oxford Online Pharmacy, peserta mendakwa sebulan tanpa aktiviti seks membuatkan otot mereka lebih besar, stamina lebih tinggi, kurang tekanan, tumpuan lebih baik dan ada kes yang rambutnya lebih lebat.

No Nut November tak sihat untuk lelaki?

Namun, terdapat kajian perubatan yang tidak menyokong dakwaan-dakwaan ini.

Seorang pakar urologi berkata, menahan diri daripada onani boleh membuatkan lelaki lebih tertekan kerana kelegaan yang biasanya diperoleh daripada aktiviti itu tidak ada.

Jelasnya, onani secara berkala membawa manfaat untuk kesihatan mental, dan menjauhi amalan ini sepenuhnya boleh menimbulkan kesan negatif.

Pakar perubatan menegaskan badan dan minda mendapat kebaikan daripada aktiviti memuaskan diri secara berkala, jadi jika anda mengikuti No Nut November, anda mungkin terlepas menikmati manfaat tersebut.

Bagi yang ingin mencari manfaat kesihatan, satu kajian menunjukkan bahawa menahan diri selama seminggu boleh meningkatkan tahap testosteron dan jumlah sperma.

Namun, menahan diri selama sebulan penuh pula mungkin memberikan kesan negatif sepanjang tempoh itu. 

Jika ingin berehat, mungkin lebih baik sekadar mengambil 'cuti' seminggu daripada aktiviti tersebut.

Menurut pendakwah Ustaz Adnin Roslan, hukum onani dalam Islam secara umum adalah haram, sama ada keluar air mani atau tidak. 

Bahkan, sekadar membayangkan situasi yang (menaikkan syahwat) juga dianggap berdosa jika menyebabkan air mani terkeluar.

Antara cara untuk mengelakkan perbuatan ini ialah berpuasa, melawan nafsu serta menyibukkan diri dengan aktiviti berfaedah kerana pendekatan ini dapat membantu mengurangkan keinginan untuk melakukan onani.

Artikel Lain