SEORANG pakar perubatan forensik terkenal dari Thailand memberi amaran tentang bahaya ketagihan menonton video lucah yang boleh membawa kepada masalah mati pucuk serta gangguan hubungan intim, terutamanya dalam kalangan lelaki muda.
Pensyarah perubatan di Universiti Srinakharinwirot, Profesor Madya Dr Weerasak Charuschaisri berkongsi satu klip video di Facebook bertajuk Menonton Terlalu Banyak Video Lucah Boleh Menyebabkan Mati Pucuk.
“Ramai mungkin tidak sedar aktiviti menonton video lucah dalam talian boleh menjejaskan kehidupan seksual, namun kajian menunjukkan tabiat menonton secara berlebihan berkait rapat dengan disfungsi seksual, khususnya dalam kalangan remaja lelaki,” katanya.
Memetik kajian global tahun 2021 yang diterbitkan dalam JMIR Public Health and Surveillance, Dr Weerasak menjelaskan penyelidik membuat tinjauan terhadap 3,419 lelaki berusia antara 18 hingga 35 tahun dan mendapati mereka yang sering menonton video lucah dalam jumlah banyak mempunyai risiko 70 peratus lebih tinggi untuk mengalami mati pucuk berbanding mereka yang jarang menontonnya.
Kajian itu juga mengaitkan tabiat tersebut dengan masalah ejakulasi pramatang dan kesukaran mencapai klimaks.

Video lucah semakin mudah diakses dengan kemudahan teknologi hari ini. -Gambar hiasan
“Menonton terlalu banyak video lucah boleh menyebabkan rangsangan berlebihan pada otak sehingga tindak balas terhadap hubungan seksual sebenar menjadi lemah. Lelaki yang menonton secara berlebihan sering sukar terangsang atau memberi respons kepada pasangan sebenar,” jelasnya.
Namun kesannya bukan hanya bersifat fizikal.
Dr Weerasak turut menegaskan ketagihan video lucah boleh meningkatkan tahap tekanan dan keresahan yang akhirnya mencetuskan masalah psikologi serta menyukarkan keintiman dalam kehidupan sebenar.
Dia turut menyenaraikan beberapa tanda utama disfungsi seksual akibat video lucah:
1. Hilang minat terhadap hubungan seks sebenar bersama pasangan
2. Sukar memancut atau mengekalkan rangsangan
3. Dorongan kuat untuk menonton video lucah hingga mengganggu rutin harian
Bagi rawatan, Dr Weerasak mencadangkan apa yang dikenali sebagai ‘detoks video lucah’.
“Berhenti menonton video lucah selama 90 hari boleh membantu memulihkan fungsi seksual. Ia memberi masa kepada otak untuk ‘reset’ dan peka semula terhadap rangsangan sebenar,” katanya. - Agensi


