DALAM kes keganasan rumah tangga, jeritan meminta pertolongan mungkin tidak mampu untuk menyelamatkan mangsa.
Sebagai alternatif, kaum Hawa sepatutnya mempelajari isyarat tangan SOS yang dikenali sebagai 'Signal for Help'.
Isyarat tangan ini merupakan gerakan senyap yang digunakan untuk menunjukkan seseorang berada dalam bahaya.
Dicipta semasa pandemik Covid-19 oleh The Canadian Women’s Foundation dan Women’s Funding Network, ia bagi menangani peningkatan kes keganasan rumah tangga.
Isyarat tersebut membolehkan individu yang berada dalam situasi berbahaya meminta bantuan secara senyap, terutamanya apabila mereka tidak dapat bercakap dengan bebas atau sedang diperhatikan oleh pelaku.
Cara-cara:
1. Angkat tangan anda dengan tapak menghadap ke luar/depan.
2. Lipat ibu jari ke dalam tapak tangan.
3. Tutup ibu jari tersebut dengan melipat keempat-empat jari lain sehingga membentuk penumbuk.
4. Ulangi gerakan ini beberapa kali jika perlu supaya lebih jelas kelihatan.

Isyarat ini bermaksud individu itu sedang memerlukan pertolongan.
Cara bertindak jika melihat isyarat ini
1. Hubungi secara selamat – Kirim mesej teks, emel, atau hubungi melalui platform yang tidak mencurigakan untuk bertanya sama ada mereka selamat dan bentuk bantuan yang diperlukan.
2. Jangan konfrontasi di depan pelaku – Elakkan daripada bertanya atau bertindak secara langsung yang boleh membahayakan mangsa.
3. Dengar dan percaya – Jika mereka mengesahkan sedang dalam bahaya, dengar dengan empati dan elakkan menyoal secara berlebihan.
4. Bantu dapatkan bantuan profesional – Galakkan mereka menghubungi pihak berkuasa, talian kecemasan atau organisasi sokongan mangsa keganasan rumah tangga. Sekiranya mangsa benar-benar dalam bahaya, mungkin anda juga boleh membantu mereka dengan menghubungi pihak berkuasa.


