GOLONGAN narsisis sering digambarkan sebagai individu yang mementingkan diri sendiri, suka dikagumi dan sukar menerima teguran.
Selain mempunyai keyakinan diri yang keterlaluan, mereka sebenarnya cenderung memanipulasi orang sekeliling demi menjaga ego dan imej diri.
Dengan mempelajari corak komunikasi yang biasa digunakan oleh golongan narsisis, anda akan lebih bersedia melindungi diri ketika berdepan dengan mereka.
“Satu perkara yang 'menarik' tentang golongan narsisis ialah mereka sangat mudah dijangka.
“Apabila sikap sebenar terbongkar, anda sebenarnya boleh menjangka apa yang akan mereka katakan dan perkara yang boleh mencetuskan reaksi mereka," kata pakar terapi perkahwinan dan keluarga, Carrie Ann Cleveland.
Mempunyai ilmu dan pengetahuian tentang golongan ini seterusnya membolehkan anda membuat persediaan sebelum berbual dan kekal neutral ketika berdepan situasi tegang.
“Semua bentuk komunikasi mereka direka untuk mencetuskan reaksi daripada anda,” jelas Cleveland, sambil menambah bahawa kekal tenang ialah cara paling berkesan untuk mengendalikannya.
Akronim penting yang perlu diketahui
Pakar psikologi klinikal dan penulis buku, David Hawkin berkata golongan narsisis menggunakan taktik manipulasi yang dikenali sebagai DARVO.
Ia merupakan singkatan bagi deny (nafikan), attack (serang), dan reverse victim and offender (tukar peranan mangsa dan pelaku).

Sikap narsisistik boleh merosakkan hubungan. -Gambar hiasan AI
1. Deny (Nafi)
Individu narsisis cenderung mempertahankan diri habis-habisan daripada sebarang tuduhan atau kritikan.
Mereka akan menafikan sebarang kesalahan dan menganggap tuduhan itu palsu.
2. Attack (Serang)
Selepas menafikan, golongan narsisis biasanya beralih kepada fasa serangan dengan menyerang peribadi dan kredibiliti orang yang menegur mereka.
Mereka juga mungkin mengungkit kesilapan lama atau menggunakan kelemahan yang mereka tahu untuk menjatuhkan anda.
3. Reverse victim and offender (tukar peranan mangsa dan pelaku)
Langkah terakhir dalam corak DARVO ialah pertukaran peranan. Si narsisis akan menggambarkan diri mereka sebagai mangsa bagi meraih simpati dan mengalih perhatian daripada kelakuan mereka sendiri.
Cara untuk bertindak balas
Sebaik sahaja anda mengenal pasti corak ini, anda lebih mampu mengendalikannya tanpa rasa marah.
Cara terbaik untuk bertindak balas ialah dengan kekal tenang, rasional dan berkecuali.
Kuncinya ialah dengan menolak untuk terlibat dalam perbualan berulang atau yang bertujuan memancing reaksi, sebaliknya menetapkan sempadan dan menamatkan perbualan yang tidak mendatangkan hasil.


