TIDAK kira sama ada berkebun atau sekadar bercucuk tanam mengisi masa lapang di laman rumah, anda pasti ingin mendapatkan hasilnya.
Maka tidak hairanlah apabila ada yang sanggup berhabis ratusan ringgit demi membeli baja terbaik untuk menyuburkan tanaman.
Menerusi hantaran di laman Facebook Syafiq Wazan, ada dikongsikan petua membuat baja foliar daripada hasil air rendaman kulit bawang.
Menurutnya, ia bukan sahaja membantu menyuburkan malah dapat meningkatkan daya tahan tanaman terhadap penyakit.
Malah katanya, teknik itu sudah diamalkan di kebun mininya.
Bahan-bahan:
Segenggam kulit bawang (merah atau putih)
1 liter air tanpa klorin (air hujan atau air perigi lebih baik)
Nisbah 1:1
Langkah penyediaan:
1. Rendam kulit bawang dalam air selama 24 hingga 48 jam tetapi jangan lebih tiga hari.
2. Tapis airnya dan simpan dalam botol semburan.
3. Boleh dicairkan dengan air iaitu 1:1 jika terlalu pekat.
4. Semasa ingin menggunakannya, sembur pada daun di waktu pagi sebelum pukul 10 atau lewat petang selepas pukul 6.30.
5. Seminggu sekali atau dua kali mengikut keperluan tanaman.
Tip: Baja foliar membantu tumbuhan berdaun seperti sayuran bayam dan sawi untuk menjadi lebih hijau serta tahan serangan kulat.