suria

Tak perlu bergaduh dengan jiran, ikut langkah ini kalau tanah diceroboh

Gambar pencerobohan dan batu sempadan boleh menjadi bukti kukuh di mahkamah. -Gambar hiasan

ISU berkaitan sempadan hartanah sering menjadi pertikaian kebanyakan masyarakat sehingga akhirnya mereka yang terlibat akan bermasam muka.

Lebih membimbangkan apabila ada yang mengambil jalan mudah dengan melakukan ugutan jenayah apabila merasakan 'haknya' dirampas.

Bagi segelintir individu pula, khidmat juru ukur digunakan bagi memastikan hak mereka dipelihara berlandaskan perundangan dan tidak digugat oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kes yang menyaksikan jiran terlibat masih enggan melepaskan 'hak' meskipun ia telah ditetapkan oleh juru ukur bertauliah.

Oleh itu, Hakim yang juga jurucakap Syarikat UkurxBina Terengganu tampil berkongsi pandangan berhubung cara untuk memastikan sempadan tanah tidak diceroboh.

Malah katanya, ia berdasarkan 10 tahun pengalamannya dalam bidang berkenaan.

1. Simpan bukti ukuran rasmi

Pemilik hartanah perlulah menyimpan dokumen berkaitan pelan ukuran yang disahkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) atau juru ukur berdaftar.

Pastikan anda juga mempunyai gambar batu sempadan yang terdapat pada sempadan serta salinan geran bersama pelan kadaster atau Certified Plan (CP)

Jika menggunakan dron, simpanlah ortofoto atau ortomosaik.

2. Ajak berbincang dengan bukti

Cuba berbincang dengan jiran anda tentang sempadan yang telah diukur dengan menunjukkan pelan dan geran secara bersemuka

Kemudian jelaskan ukuran yang telah dibuat oleh juru ukur bertauliah dan jika mereka masih berdegil, jangan marah.

Anda sebaliknya menggunakan saluran 'rasmi'.

3. Buat laporan di Pejabat Tanah

Langkah ini boleh dilakukan jika terdapat ganggu hak milik.

Anda bolehlah mengumpul bukti termasuklah geran tanah (hak milik), pelan ukur terkini (endorsed) dan gambar batu sempadan.

Paling penting, kepilkan bersama bukti pencerobohan seperti pagar, tanaman, binaan dan lain-lain yang melangkaui sempadan hak milik anda.

Kemudian, anda boleh terus ke pejabat tanah dan unit penguatkuasaan untuk proses aduan secara rasmi serta serahkan semua bukti.

Jika terdapat kes, pegawai akan turun tapak, namun proses ini bergantung kepada negeri dan kekangan yang dihadapi pegawai terlibat.

4. Jika pencerobohan berterusan

Anda boleh membuat permohonan injunksi termasuk pengusiran melalui Mahkamah Sivil jika terdapat gangguan berterusan daripada jiran.

Pelan ukur dan gambar berkaitan pencerobohan boleh menjadi bukti kukuh di mahkamah nanti.

Artikel Lain