KEBANYAKAN individu yang pernah memandu pasti pernah berdepan situasi kenderaan tiba-tiba menjadi berat dan 'semput'.
Bayangkan apabila berada dalam keadaan trafik sesak, pedal minyak yang ditekan seolah-olah tidak berfungsi.
Pasti panik dan gelabah, apatah lagi ternampak pengguna jalan raya yang lain sedang menjeling dan membunyikan hon.
Bagi anda yang berdepan situasi ini, cuba periksa lima perkara ini yang boleh menjadi punca masalah teknikal pada kenderaan seperti dikongsikan ZAM Auto Accessories di laman Facebook.
1. Sensor pedal minyak rosak
Ramai yang tidak peka dengan masalah teknikal ini kerana ia perlu diperiksa secara terperinci oleh mekanik.
Bagaimanapun, apabila anda merasakan kelainan dalam pemanduan dan semasa menekan pedal, ia berkemungkinan berpunca daripada sensor.
Apabila sensor mengalami masalah, ia akan memberi signal yang salah pada enjin.
Sebab itulah kereta yang dipandu tetap bergerak perlahan meskipun pedal minyak ditekan sehingga habis.
2. Filter udara tersumbat
Seolah-olah organ pernafasan kita, bahagian filter yang tersumbat juga akan memberi kesan kepada kenderaan.
Mana tidaknya, komponen enjin pun memerlukan aliran udara untuk berfungsi dengan baik.
Jika pengaliran udara tersekat, tidak mustahil kereta akan menjadi 'semput'.
Pemeriksaan dan penyelenggaraan berkala penting bagi menjaga 'kesihatan' enjin kereta. -Gambar hiasan
3. Sensor MAF rosak
Sensor ini mengira setiap angin yang masuk.
Jika bacaannya tidak selari, campuran minyak dan angin pasti mengalami masalah seterusnya menyebabkan 'pick-up' hilang.
4. Filter minyak tersumbat
Filter minyak mestilah sentiasa ditukar kerana ia antara komponen utama untuk enjin kenderaan.
Jika pengaliran minyak tidak lancar, memang sukar kenderaan hendak bergerak.
Masalah akan menjadi lebih teruk apabila enjin anda menjadi 'overhaul' disebabkan filter minyak tidak diselenggara dengan baik.
5. Masalah enjin
Sentiasa mengamati lampu amaran enjin pada kenderaan anda.
Apabila 'compression' rendah dan sensor lain tidak berfungsi dengan baik, maka kereta tidak mempunyai daya untuk bergerak dengan lancar.
Oleh itu, sentiasalah membuat pemeriksaan dan melakukan penyelenggaraan berkala bagi mengelakkan masalah lebih besar berlaku terhadap enjin kenderaan anda.
Tambahan pula, kebanyakan kereta masa kini boleh dianalisa menggunakan sistem komputer.