suria

Mesti ramai suka buat kerja di katil, letak laptop atas bantal... Sila hentikan tabiat ini, rupanya punca ‘motherboard’ cepat rosak!

Laptop merupakan keperluan masyarakat masa kini. -Gambar hiasan

KOMPUTER riba atau laptop merupakan antara keperluan masyarakat masa kini terutama mereka yang sudah bekerja dan golongan pelajar.

Penggunaan secara kerap membuatkan komponen pada peranti mudah alih ini menjadi mudah rosak dan bermasalah.

Menerusi hantaran di media sosial, Una Elmi yang berkepakaran dalam membaiki laptop tampil berkongsi punca utama kerosakan.

Malah kata pemilik syarikat Megnatech Solution ini, masalah yang sama dialami lima individu dalam tempoh satu minggu.

"Ramai tak tahu, sebenarnya boleh elakkan (kerosakan) daripada awal sekiranya (laptop) dijaga dengan betul.

"Ada yang baru pakai setahun dua sahaja, tetapi dah kena tukar board disebabkan perkara asas ini," katanya.

1. Salah guna pengecas bateri

Ramai pengguna yang memandang remeh tentang pengecas bateri laptop dan beranggapan 'asalkan penuh, sudahlah'.

Pengecas 'cap ayam' dan tidak original bukan sahaja merosakkan laptop malah membahayakan nyawa kerana ia boleh menyebabkan motherboard rosak atau bahagian port pengecas menjadi 'cair'.

Laptop perlu dijaga dengan baik bagi mengelakkan kerosakan berlaku. -Gambar hiasan

Laptop perlu dijaga dengan baik bagi mengelakkan kerosakan berlaku. -Gambar hiasan

2. Letak laptop di atas tilam atau bantal

Bagi golongan pelajar, menyiapkan tugasan secara bersantai dapat membantu merelakskan diri.

Ekoran itu, laptop sentiasa diletakkan di atas bantal dan tilam demi keselesaan diri.

Anda yang sering melakukannya dinasihatkan untuk tidak meneruskan tabiat tersebut kerana laptop memerlukan ruang untuk 'bernafas'.

Ini kerana, apabila diletakkan di atas tilam atau bantal, aliran udara tersekat seterusnya menyebabkan peranti cepat panas dan merosakkan motherboard.

3. Makan dan minum berhampiran laptop

Menurut Una, dia pernah mendapat laptop pelanggan yang tertumpah air kopi sehingga tidak dapat dihidupkan.

Apabila berhadapan dengan situasi ini, motherboard akan dicuci terlebih dahulu, namun jika masalah masih berterusan ia perlulah ditukar.

Sesetengah individu gemar makan dan minum sambil melakukan kerja. -Gambar hiasan

4. Tidak pernah servis

Percaya atau tidak, terdapat pengguna yang tidak pernah membuat servis pada laptop kerana beranggapan tiada keperluan.

Untuk pengetahuan anda, laptop juga mudah diselaputi debu terutama pada bahagian kipas.

Debu tebal yang menyelaputi kipas akan menyebabkan peranti cepat panas seterusnya menjadi 'lembab'.

Oleh itu, anda disarankan untuk melakukan penyelenggaraan setiap enam bulan atau maksima satu tahun.

5. Tekan butang 'power' macam marah

Kebiasaannya dilakukan oleh budak-budak kerana beranggapan ia perlu ditekan dengan kuat.

Menurut Una, butang power bersaiz kecil dan sukar diganti apabila rosak.

Artikel Lain