SEDAR atau tidak, barang kegunaan harian boleh menjadi punca berlakunya masalah kesihatan.
Sejak kebelakangan ini, isu berkaitan mikroplastik sering diketengahkan kerana dikatakan menjadi punca kepada beberapa penyakit radang dalam tubuh manusia.
Ini kerana apabila partikel kecil itu disedut, ia akan masuk ke dalam saluran pernafasan seterusnya melukakan paru-paru.
Ada juga yang masuk ke dalam darah sehingga menjejaskan jantung dan otak serta merangsang kanser yang menjejaskan sistem imun dan saraf seseorang.
Susulan itu, seorang pelayar Facebook yang juga usahawan, Wan Muhd Ali berkongsi maklumat tentang mikroplastik kepada umum.
"Penyelidik dari University of Newcastle, Australia bongkarkan sesuatu yang agak mengejutkan… satu calar halus pada permukaan kuali non-stick boleh lepaskan lebih 9,000 mikroplastik.
"Kalau lapisan tu pecah atau rosak teruk, boleh dianggarkan 2.3 juta partikel plastik termasuk nanoplastik masuk dalam makanan.
"Bayangkan, tiap kali masak… ada ‘plastik halus’ yang kita tidak nampak, tapi mungkin dah jadi penumpang tetap dalam badan," kongsinya.
Pada masa sama, dia memaklumkan langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi mengelakkan masalah kesihatan berlaku yang berpunca daripada mikroplastik.
Memetik nasihat pakar, ujarnya, pengguna dinasihatkan supaya tidak menggunakan sudip besi di atas perkakas non-stick.
"Sekiranya terdapat calar, pengguna perlu menukar terus perkakas atau kuali berkenaan.
"Namun, sekiranya mengutamakan kesihatan, pengguna disarankan menggunakan perkakas jenis stainless steel, cast iron atau seramik," tambahnya.