BERITA kematian seekor anak gajah yang digilis lori di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, baru-baru ini amat meruntun hati.
Insiden tersebut sememangnya meninggalkan kesan kepada masyarakat dan secara tidak langsung membangkitkan perbincangan lebih mendalam tentang tahap kesedaran orang awam mengenai hidupan liar.
Terbaharu, satu lagi isu berkaitan gajah menjadi perhatian apabila seorang lelaki tampil menyuarakan kemarahan terhadap tindakan sesetengah pihak yang meletakkan buah-buahan di tepi laluan sama bagi memberi makanan kepada haiwan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengguna laluan Gerik-Jeli beri sebab perlu elak memandu lepas waktu Maghrib... Jika jumpa gajah, perhati kedudukan telinga!
"Hangpa memang bodoh dan bodoh. Hangpa nak buat macam dekat luar (negara) ke, gajah tunggu tepi jalan lepas tu bagi makan?
"Jangan jadi bodoh boleh tak? Bila gajah mengamuk sebab tak ada makan, mulalah nak suruh jabatan atau agensi ambil tindakan kepada gajah tu," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.
Bersama hantarannya, individu berkenaan turut memuat naik sekeping gambar memaparkan longgokan buah pisang serta mangga yang diletakkan di dalam kotak dan dibiarkan di tepi jalan.
Pengguna dinasihatkan mematuhi tanda amaran untuk mengelakkan serangan gajah. -Gambar hiasan
"Lagi orang larang, lagi dia buat. Pagi ni pun (Selasa) ada lagi kes letak buah di Jalan Raya Gerik-Jeli berhampiran dengan ladang rakyat atau Damai Resort Jeli.
"Boleh dikatakan setiap hari ada orang datang letak buah-buahan dekat tepi jalan. Konon nak tunjuk baiklah tu letak makanan untuk bagi gajah makan.
"Bila gajah dah biasa ada orang bagi makan, dia akan mai (datang) tunggu dekat tepi jalan. Jadi inilah yang pencinta haiwan hendakkan kan?" tulisnya lagi.
Individu tersebut turut menggesa mana-mana pihak yang ternampak sesiapa yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab berkenaan memaklumkan kepadanya supaya laporan boleh dibuat.
Sebelum ini Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff, memberi peringatan kepada pengguna JRTB supaya tidak melakukan provokasi selain mematuhi tanda arahan yang dipasang sepanjang menggunakan laluan tersebut.
Pengguna laluan itu juga dinasihatkan supaya tidak membunyikan hon, tidak menggunakan lampu tinggi, tidak keluar mengambil gambar atau cuba memberi haiwan tersebut makan kerana berisiko dan boleh mengancam nyawa pengguna lain.