suria

Perut sakit, cili dipersalahkan! Ramai tak tahu makan pedas banyak manfaat kesihatan

Terdapat manfaat makan cili dalam kuantiti tertentu. -Gambar hiasan AI

MAKANAN pedas sering dianggap penyebab kepada masalah perut seperti gastrik dan refluks asid. 

Namun, kajian menunjukkan pengambilan cili secara sederhana sebenarnya boleh memberikan manfaat kesihatan seperti membantu menurunkan berat badan dan risiko penyakit kronik.

Bahan utama yang memberikan rasa pedas pada cili ialah kapsaisin berfungsi merangsang reseptor saraf TRPV1 (reseptor kapsaisin), sekali gus meningkatkan metabolisme tubuh. 

Kajian turut mendapati kapsaisin boleh membantu mengawal paras gula dalam darah, mengurangkan keradangan dan meningkatkan rasa kenyang.

Pakar dari Harvard Medical School, Dr Long Nguyen menjelaskan, kapsaisin merangsang penghasilan adrenalin yang membantu proses pembakaran lemak dan kawalan paras gula dalam darah.

Tinjauan saintifik pada tahun 2020 pula menunjukkan pengambilan cili secara berkala dikaitkan dengan risiko lebih rendah terhadap obesiti, penyakit jantung dan diabetes tahap 2. 

Malah, individu kerap makan cili didapati mempunyai 25 peratus risiko lebih rendah untuk mengalami kematian awal berbanding mereka yang jarang mengambilnya. 

Cili mengandungi kapsaisin yang baik untuk kesihatan. -Gambar hiasan AI

Ini dipercayai hasil kesan anti-radang kapsaisin yang membantu menstabilkan sistem imun.

Selain itu, kapsaisin juga digunakan dalam bentuk sapuan untuk meredakan sakit saraf dan radang sendi. 

Ia turut dipercayai menyokong keseimbangan mikrobioma usus, yang penting untuk sistem penghadaman dan imunisasi badan. 

Walaupun kebanyakan kajian masih dijalankan ke atas haiwan, data awal ke atas manusia menunjukkan potensi manfaat yang sama.

Berapa kerap perlu makan pedas? 

Menurut Dr Nguyen, yang juga merupakan ahli Persatuan Gastroenterologi Amerika, pakar pemakanan menyarankan pengambilan cili sekitar dua hingga empat kali seminggu. 

Namun begitu, tidak semua orang sesuai makan pedas. 

Pengambilan cili berlebihan boleh menyebabkan masalah seperti refluks asid atau iritasi usus, terutama jika diambil dalam jumlah banyak atau secara tiba-tiba.

Bagaimanapun, kenal pasti tahap toleransi tubuh masing-masing dan berbincang dengan doktor atau pakar pemakanan sebelum membuat perubahan drastik terhadap diet harian. -Agensi

Artikel Lain