MALAYSIA sekali lagi menjadi perhatian dunia apabila menjadi tuan rumah dengan penganjuran Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2025.
Berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Julai, acara ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memacu inovasi, meningkatkan pertumbuhan dan menjalin kerjasama global yang akan menentukan lembaran seterusnya dalam industri penjagaan kesihatan negara.
Pelbagai pameran diadakan sempena IHW tahun ini.
Berikut disenaraikan fakta-fakta menarik mengenai IHW 2025:
- Diiktiraf sebagai perhimpunan kesihatan terbesar dan paling berpengaruh di Asia Tenggara.
- Menghimpunkan ribuan ahli profesional kesihatan, pemimpin industri dan ahli inovasi serta pempamer dari serata Asean dan luar negara.
- Berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, menggabungkan secara unik lima pameran perdagangan antarabangsa utama di bawah satu bumbung berkeluasan 26,000 meter persegi.
- Lima pameran tersebut adalah; CPHI Asia Tenggara (rantaian bekalan pengeluaran farmaseutikal), WHX Kuala Lumpur (peranti perubatan dan perkhidmatan hospital), WHX Labs Kuala Lumpur (acara utama teknologi diagnostik, perubatan makmal), Medtec Asia Tenggara (reka bentuk, pembuatan peranti dan teknologi perubatan) dan HIMSS (Persatuan Sistem Pengurusan dan Maklumat Penjagaan) pemacu inovasi teknologi digital.
- Platform dan peluang yang baik untuk peserta berkenalan, berkongsi idea dan menjalin kerjasama antara satu sama lain.
- Mencerminkan komitmen bersama komuniti kesihatan rantau Asean untuk berinovasi dan menjalin kerjasama untuk masa depan yang lebih sihat.
- Pengunjung boleh melawat lebih 900 pempamer utama tempatan, rantau dan antarabangsa yang mempamerkan lebih daripada 15,000 produk dan perkhidmatan di bawah satu lokasi, membantu menjimatkan masa dan wang.
- Dijangka menerima kunjungan kira-kira 21,000 ahli profesional dari 50 buah negara, menyediakan peluang untuk berkenalan serta membina jaringan, pertukaran pengetahuan dan jalinan kerjasama perniagaan.
- Lebih daripada 125 persidangan yang dirangka khusus bagi membincangkan keperluan utama dan pertumbuhan industri, menawarkan pengalaman pembelajaran yang disasarkan.