PERKONGSIAN mengenai rumah tangga oleh seorang wanita dikenali sebagai Sarina atau mesra disapa Kak Tam di TikTok menarik perhatian ramai terutama golongan isteri.
Salah satu nasihat Kak Tam ialah kepada wanita yang diuji dengan kecurangan suami.
Menurut Kak Tam, ramai wanita cenderung menyerang 'penyondol' apabila mengetahui pasangan mereka curang.
Namun katanya, tindakan itu hanya akan menyakitkan hati sendiri.
"Penyondol ni memang hati kering, tak ada perasaan. Mereka akan cakap suami kita yang terhegeh-hegeh. Kita juga nanti yang dipersalahkan sebab kononnya tak pandai jaga suami," katanya.
Justeru Kak Tam menasihatkan agar wanita tidak membuang tenaga untuk berdepan dengan perampas, sebaliknya fokus kepada suami sendiri.
Seorang isteri pastinya berduka dengan kecurangan suami. -Gambar hiasan AI
Apa yang lebih penting menurutnya, adalah keberanian untuk berdepan pasangan dengan penuh maruah.
Caranya adalah dengan mencari ruang dan bersemuka dalam posisi suami duduk di kerusi manakala isteri di lantai.
Dalam perkongsiannya, Kak Tam turut berkongsi skrip atau cara yang boleh digunakan untuk menyampaikan meluahkan isi hati dengan tenang namun tegas.
"Abang (panggilan suami), saya sudah tahu mengenai (kecurangan) abang. Saya tak nak dengar apa-apa penjelasan daripada abang kerana saya percaya kalau tak ada angin pokok tak akan bergoyang.
"Semua bukti saya sudah ada. Sekarang saya nak tanya, siapa pilihan abang? Saya atau perempuan tu. Tapi sebelum abang pilih, saya ada pilihan sendiri. Saya pilih untuk pergi.
"Kalau abang boleh pergi dan cari orang yang abang rasa boleh bahagia dan gembira, saya pun boleh. Tapi saya tak boleh cari selagi jadi isteri abang," kata Kak Tam memberikan contoh dialog.
Pesan Kak Tam lagi, wanita perlu bijak menjaga emosi dan tahu bila masanya untuk melepaskan, tanpa perlu ‘berperang’ dengan wanita lain yang langsung tidak mengenal erti empati.
Namun tambah Kak Tam, kaum lelak tidak sepatutnya terasa hati dengan perkongsian ini kerana ia ditujukan kepada situasi yang benar-benar berlaku.