RAMAI mungkin tidak sedar kewujudan beberapa garisan halus melintang di bahagian cermin belakang kereta.
Nampak macam hiasan, tapi sebenarnya ia memainkan peranan penting untuk keselamatan dan keselesaan pemanduan, terutamanya ketika cuaca sejuk atau hujan.
Garisan belakang cermin kereta ini dikenali sebagai rear window defogger atau pemanas cermin belakang.
Apabila arus elektrik lalu di garisan itu, jalur halus logam pengalir akan menjadi panas.
Fungsinya adalah untuk mencairkan ais, menyingkirkan wap air dan memastikan pandangan ke belakang lebih jelas.
Garis pada cermin juga berfungsi sebagai antena radio.
Antara manfaatnya adalah seperti berikut:
1. Menanggalkan kabus dan ais
Aktifkan fungsi ini ketika cuaca sejuk dan cermin belakang anda akan kembali jernih tanpa perlu bersusah payah mengelap secara manual.
2. Lindungi sealant (bahan pengedap)
Garisan hitam di sekeliling cermin juga melindungi gam pelekat cermin daripada sinaran UV dan kerosakan cuaca.
3. Berfungsi sebagai antena
Dalam sesetengah model kereta, garisan ini turut berfungsi sebagai antena radio.
Namun, cermin depan menggunakan sistem pemanasan berbeza iaitu udara panas dari penghawa dingin yang disalurkan terus ke permukaan cermin.
Rekaan cermin depan yang lebih tegak juga membolehkan proses ini berlaku lebih cepat dan efektif.
Walaupun dibina untuk tahan lama, garisan ini boleh rosak jika tercalar atau putus.
Jika fungsi ini tak lagi berkesan, sebaiknya periksa atau baiki segera bagi memastikan aspek keselamatan ketika memandu tidak terjejas.
Garis halus ini bukanlah hiasan kerana ia merupakan teknologi penting di cermin belakang kereta demi pandangan yang jelas dan pemanduan yang selamat. -Kyger Glass