RAMAI ibu bapa terlepas pandang tentang adab dan kaedah memandikan bayi yang baru dilahirkan.
Salah satu kesilapan biasa ialah menggunakan kapas lembap (wet nappy) untuk membersihkan najis bayi tanpa mencuci dengan air.
Jadi sebelum meletakkan bayi ke dalam tab mandi, pastikan bahagian kemaluannya dicuci dengan air mengalir terlebih dahulu supaya air mandian tidak tercemar menjadi najis.
Bayi baru lahir adalah anugerah dan khalifah kecil yang baru menjengah dunia, maka sebagai ibu bapa Muslim, ada cara khusus yang digalakkan Islam termasuklah bab mandian.
Berikut lapan panduan penting memandikan bayi daripada usia sehari hingga 40 hari selain menggunakan air suam seperti dikongsikan dalam satu hantaran di Facebook:
1. Waktu terbaik ialah ketika dhuha kerana masa ini degupan jantung dan aliran darah bayi berada dalam keadaan tenang.
2. Mulakan siraman di belakang diikuti kaki dan naik ke punggung secara perlahan-lahan.
3. Gosokan lembut sangat penting bagi membantu pengaliran darah dengan menggunakan sabun khas bayi.
4. Seterusnya siram dari belakang kepala ke dahi bagi mengelakkan air masuk ke telinga dengan menggosok secara perlahan atau lembut.
5. Digalakkan bapa yang mandikan bayi, sambil berzikir seperti Ya Latif (Yang Maha Lembut), Ya Hadi (Yang Memberi Petunjuk atau Yang Memimpin).
6. Elakkan siram air ke muka, kerana ia boleh buat bayi lemas atau terkena jangkitan seperti selesema.
7. Siraman terakhir bermula dari dada ke bawah, dan elak sapuan sabun di bahagian hadapan tubuh bagi mengelakkan kawasan pusat lembap dan lambat tanggal tali pusat.
8. Selepas mandi, lap seluruh badan bayi bermula dari kepala kerana bahagian ini perlu dilap segera supaya tidak menyebabkan masalah paru-paru lemah.