TIDAK kira di mana berada, makanan Malaysia tetap menjadi sebutan ramai termasuk warga asing yang pernah menjejakkan kaki ke negara ini.
Seorang wanita bernama Hasifah menarik perhatian pengguna TikTok apabila berkongsi pengalamannya bertemu dengan warga asing di luar negara yang secara spontan memuji makanan Malaysia, terutama nasi lemak dan sate.
Menurut Hasifah dalam video tersebut [Tonton sini], mereka yang pernah bercuti ke Malaysia lazimnya akan menyebut tentang keenakan makanan tempatan dalam perbualan.
"Mereka akan puji nasi lemak dan sate. Ini mungkin makanan yang ramai cadangkan pada pelancong, jadi mereka terbiasa (kenal).
"Tapi kalau yang dah lama duduk Malaysia, mereka tahu lebih banyak jenis makanan kita... dan boleh borak lebih mendalam fasal makanan," katanya.
Hasifah yang pernah menetap di Rusia selama enam tahun juga berkongsi bagaimana perspektifnya terhadap makanan berubah selepas tinggal di luar negara.
Katanya lagi, dia dan suami akhirnya membuat satu kesimpulan penting selepas merasai pelbagai makanan dari negara lain.
"Mula-mula memang kita rasa makanan Malaysia tu biasa je. Tapi apabila saya belajar di Rusia dan banyak travel ke negara Eropah dan rasa makanan mereka, baru saya faham kenapa mat salih selalu highlight (puji) makanan kita.
"Makanan kita memang ada rasa dan tak membosankan. Makanan luar negara banyak yang bland taste atau rasa yang lebih kurang walaupun dari negara berbeza.
"Berbanding dekat Malaysia, awak buat masak lemak lain rasanya, asam pedas lain, cili api atau rasa masakan rendang... semuanya ada rasa tersendiri. Itulah sebab kita tak akan bosan dengan makanan Malaysia," jelasnya lagi.
Perkongsian Hasifah nyata mengundang persetujuan ramai yang turut berbangga dengan kepelbagaian dan keunikan cita rasa hidangan Malaysia.
"Betul, makanan Malaysia memang tiada tandingan.
"Makanan kita antara makanan ada banyak rasa. Jadi deria rasa orang kita agak unik sebab tu majoriti orang luar suka makanan kita.
"Walaupun tak pernah travel ke negara Eropah tapi tengok cara masakan mereka... saya rasa kesedapan makanan Melayu sebab ada banyak 'layer' (lapis) dan pelbagai dalam rasa," komen beberapa netizen.