USAHA anak muda dari Kelantan ini mencuri perhatian ramai apabila dia nekad mencabar diri untuk mencapai nilai jualan RM10,000 dengan menjual minyak wangi dalam masa 30 hari.
Menariknya, dia memilih untuk berniaga secara jualan terus atau direct selling dan tidak bergantung kepada platform dalam talian seperti kebanyakan usahawan muda lain.
Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi, 22, yang merupakan pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Bharu, Kelantan ini memulakan perniagaan berkenaan berbekalkan modal RM500 hasil kerja sambilan.
"Sejak dulu saya minat berniaga sebab ayah pun seorang peniaga berjaya. Cuma saya tak tahu nak mula daripada mana.
"Jadi saya pilih jual minyak wangi sebab semua orang suka bau wangi, dan modalnya pun rendah," katanya kepada mStar.
Alif yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik mula berniaga minyak wangi pada harga RM15 sebotol dan berjaya menjual 16 unit pada hari pertama.
Dia kini menyasarkan untuk menghabiskan 160 botol minyak wangi sebagai permulaan dengan harapan bahawa impian untuk memperoleh RM10,000 itu bukan sekadar angan-angan.
Berbeza dengan peniaga yang bergantung kepada media sosial, Alif memilih untuk 'turun padang' dan mendekati pelanggan secara bersemuka.
"Secara jujurnya, ini kali pertama saya buat direct selling. Banyak benda baru saya belajar tapi sangat seronok, terutama sekali apabila dapat sambutan baik daripada orang ramai.
"Ini cara saya nak cabar diri. Apabila kita jumpa orang depan-depan, kita dapat rasa reaksi mereka. Kita juga boleh bina kepercayaan lebih cepat,” katanya sambil mengakui belum mahir dalam bisnes online.
ARTIKEL BERKAITAN: Pernah rugi 10K bisnes di bazar sebab 'over confident', pemuda kini 'masyuk' jual air balang! Tawar emas kepada pelanggan
ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda kacak, sado jual takoyaki jadi tumpuan di Kelana Jaya... Dulu ‘introvert’, kini sakan buat content TikTok
Kata Alif yang baru mula berniaga sejak Rabu, dia bergerak ke lokasi tumpuan ramai sekitar Kuala Lumpur dengan menggunakan pengangkutan awam sebelum berjalan kaki menjual minyak wangi.
Alif tidak terlepas daripada berdepan penolakan, namun cabaran yang dihadapi itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berniaga.
"Saya akan naik motosikal dulu milik bapa saudara saya untuk ke LRT dari Gombak. Lalu saya bergerak dari stesen ke stesen termasuk Masjid Jamek dan Pasar Seni.
"Mula-mula nak dekati orang memang segan, tangan sejuk dan suara pun bergetar. Tapi saya paksa diri sebab tahu kalau tak mula sekarang, bila lagi?
“Kadang-kadang orang tak tengok muka pun, terus cakap tak nak. Tapi saya anggap itu sebagai sebahagian daripada proses belajar berniaga," ujarnya.
- Pelajar UiTM cabar diri capai jualan RM10,000 dalam 30 hari jual minyak wangi.
- Berniaga secara direct selling, tidak guna platform online bermula dengan modal RM500.
- Hari pertama jual 16 botol, target habiskan 160 unit sebagai permulaan.
- Guna pengangkutan awam, jual dari stesen ke stesen sekitar KL walaupun sering ditolak pelanggan.
- Amal solat awal waktu dan surah al-Waqiah sebagai petua sebelum mula berniaga
Setakat ini, Alif yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang perniagaan hanya menjual enam jenis wangian, empat untuk wanita dan dua untuk lelaki.
Untuk menarik perhatian, Alif mendekati pelanggan dengan cara menawarkan mereka untuk mencuba enam botol 'tester' wangian dibawa terlebih dahulu.
"Selepas mereka suka dengan bauan tester, baru saya terangkan lebih lanjut. Kadang-kadang ayat simple je boleh buka peluang untuk tarik pelanggan.
"Saya mula dengan, Assalamualaikum, maaf ganggu, nak cuba bau perfume saya? Wangi dan harga mampu milik.
"Daripada situ saya tengok reaksi dan teruskan selepas berjaya pecahkan jurang antara saya dan potential customer,” ujarnya yang berasal dari Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu.
Menyedari ramai anak muda masih malu untuk berniaga secara berdepan, Alif menyeru agar jangan takut mencuba kerana rezeki tidak datang tanpa usaha.
Alif mementingkan solat awal waktu selain berusaha lebih dalam berniaga.
Alif menekankan pentingnya solat awal waktu dan membaca surah al-Waqiah setiap hari sebagai amalan yang memberi kekuatan dalam mencari rezeki.
Dia turut meluahkan rasa syukur apabila mendapat respons positif daripada ramai pengikut di TikTok yang memberikan semangat kepadanya.
"Malu tu biasa. Tapi kalau kita tak tolak rasa malu tu, kita akan rugi. Saya belajar bahawa setiap orang ada rezeki masing-masing, tapi kita kena cari.
"Saya sangat terharu apabila orang kata saya bagi inspirasi pada mereka. Kata-kata tu jadi penguat saya untuk teruskan usaha ni,” katanya.
Dalam jangka masa panjang, Alif bercita-cita mahu memiliki jenama minyak wangi sendiri dan membuka peluang kepada anak muda lain menyertai bisnes ini.
Harapannya juga agar bisnes ini dapat membantu keluarganya terutama ibu bapa, di samping membina keyakinan dan disiplin diri.