suria

Tuan rumah halau, suruh pindah segera! Jangan panik, ketahui hak sebagai penyewa

Banyak perlu dipertimbangkan sebelum bersetuju dengan perjanjian menyewa sesebuah rumah. -Gambar hiasan

MASIH ramai penyewa tak faham hak mereka terutama dalam situasi tuan rumah mahu menjual kediaman yang disewa secara tiba-tiba.

Menurut ejen hartanah, Zam Sani, satu perkara penting yang ramai penyewa terlepas pandang adalah kewujudan klausa 'penyewa adalah orang pertama yang akan ditawarkan untuk beli'.

Klausa ini sangat penting kerana ia memberi beberapa kelebihan kepada penyewa jika rumah itu ingin dijual, antaranya:

1. Jika tuan rumah bercadang untuk menjual, mereka perlu menawarkan rumah tersebut kepada penyewa terlebih dahulu.

2. Jika penyewa menolak tawaran tersebut, barulah tuan rumah boleh menjual kepada orang luar.

3. Penyewa masih dibenarkan untuk terus tinggal di rumah itu sehinggalah ada pembeli yang sah.

4. Sekiranya rumah itu berjaya dijual, ada dua kemungkinan yang boleh berlaku iaitu:

a. Pembeli setuju penyewa kekal– Penyewa akan buat perjanjian sewa baharu dengan pemilik baharu.

b. Pembeli mahu duduk sendiri– Penyewa akan diberikan notis dua hingga tiga bulan lebih awal untuk berpindah.

Proses pindah milik rumah pula biasanya mengambil masa antara tiga hingga enam bulan. 

Jadi, tidak sepatutnya tuan rumah beri arahan 'esok kena keluar ya' atau diminta keluar secara mengejut.

Namun begitu, semua ini hanya terpakai jika terdapat klausa seperti yang disebut dalam perjanjian sewa. 

Jika tiada, penyewa tidak boleh menuntut hak sebegitu.

Zam turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak semula perjanjian sewa masing-masing, dan berbincang dengan ejen hartanah yang menguruskan urusan terdahulu. 

Minta salinan perjanjian dan fahami setiap butiran yang terkandung di dalamnya.

Katanya lagi, penting untuk penyewa tahu hak masing-masing agar tidak mudah dipermainkan atau dibuli dalam urusan sewa rumah.

Artikel Lain